Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan laporan Tabung Haji M’sia: 5 ditahan reman
Disyaki salah guna kuasa dalam pembelian saham dua firma ladang
KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat milik badan berkanun telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta ($115.89).
Difahamkan, mereka berdua ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 6.30 petang, 4 Ogos.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan pada malam 4 Ogos atas faktor kesihatan dan hadir semula ke SPRM pada 10 pagi 5 Ogos, untuk disambung rakaman percakapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abd Halim turut mengesahkan tiga lagi individu dalam siasatan terhadap pendedahan Laporan RCI TH, telah ditahan reman bermula 5 hingga 9 Ogos untuk siasatan lanjut.
Mereka yang ditahan ialah timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat badan berkanun itu.
Mereka ditahan kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) kira-kira RM450,000.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an tahun itu ditahan pada 6 petang 4 Ogos, di Ibu Pejabat SPRM.
Difahamkan, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2017 dengan 2019.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada pagi 5 Ogos.
Dengan penahanan tiga suspek itu, SPRM sehingga ini telah menahan reman lima individu berkaitan laporan RCI berkenaan.
Terdahulu, dua individu pertama membabitkan seorang pengarah syarikat dan seorang bekas pengurus ladang, telah ditahan reman pada 4 Ogos, menyusuli siasatan khas ditubuhkan SPRM bagi menyemak serta meneliti hasil Laporan RCI TH itu.
Pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an tahun ditahan pada 7.30 malam 3 Ogos, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Difahamkan, dia ditahan kerana disyaki memberi rasuah RM300,000 kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan bagi mendapatkan projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.
Kesalahan itu disyaki dilakukan antara 2014 dengan 2018, dengan suspek itu dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000.
