JOHOR BAHRU: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dikatakan bakal berlangsung 24 Jun depan terus menjadi teka-teki.

Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata perkara itu masih belum disahkan.

“Tak ‘confirm’,” katanya ringkas lapor Harian Metro.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Ayer Hitam itu bersama 25 Ketua Umno Bahagian yang lain berkumpul dalam satu mesyuarat jawatankuasa yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Johor di sini.

Hadir mempengerusikan mesyuarat, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Umno Negeri Johor dan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Umno Negeri Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan Umno Negeri Johor, Encik Md Israk Abdullah.

Selain itu, turut kelihatan, kehadiran ketua-ketua sayap Umno Negeri Johor, Ketua Wanita, Cik Asiah Md Ariff; Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Noor Azleen Ambros dan Ketua Pergerakan Puteri, Cik Rina Farhana Abdullah.

Selepas selesai mesyuarat, Datuk Onn Hafiz ketika ditemui hanya tersenyum kepada media dan tiada sebarang sidang media diadakan.

“Tumpang lalu,” selorohnya.

Seorang Ketua Bahagian Umno yang ditemui berkata, hanya perbincangan mengenai gerak kerja menyantuni rakyat yang menjadi agenda mesyuarat dan bukan mengenai tarikh PRN Johor.

“Kita bincang pasal gerak kerja, mana ada cakap pasal tarikh-tarikh pilihan raya ini,” katanya ringkas.

Media gagal memperoleh ulasan lanjut daripada ketua-ketua bahagian Umno yang lain; kebanyakan mereka hanya tersenyum dan memilih untuk berdiam diri.

Meskipun demikian, spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus hangat diperkatakan, dengan dakwaan bahawa ia mungkin diadakan lebih awal, sekali gus menyebabkan pembubaran DUN dalam masa terdekat.

PRN Johor yang lepas, pada Mac 2022, menyaksikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Penggal Kerajaan Negeri Johor dijadualkan berakhir selewat-lewatnya pada April 2027.