Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN Johor sedia tanding 56 kerusi DUN
PN Johor sedia tanding 56 kerusi DUN
PN Johor juga sedia jalin kerjasama politik bersama Muda
PN Johor sedia tanding 56 kerusi DUN
Perikatan Nasional (PN) Johor mengesahkan gabungan itu bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata perbincangan pembahagian kerusi antara parti komponen PN sudah dilakukan sebelum ini dan kini hanya membabitkan beberapa kerusi yang perlu diperhalusi.
Menurut beliau, penyertaan parti baru dalam gabungan itu turut memerlukan rundingan tambahan bagi memastikan pengagihan kerusi dapat dilakukan secara harmoni.
“Kita memang sudah ada perbincangan sebelum ini. Kali ini cuma tinggal perhalusi dan mungkin ada dua atau tiga kerusi sahaja yang akan berubah.
“Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) baru menyertai perjuangan kita, jadi kita kena berlapang dada untuk memberi beberapa kerusi kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Dr Sahruddin berkata PN Johor yang dianggotai Bersatu, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MIPP sedang menyenaraikan calon berpotensi untuk diketengahkan pada PRN nanti.
Beliau menambah, gabungan itu mahu menampilkan gabungan calon lama dan muka baru termasuk golongan wanita serta anak muda.
“Kita minta parti komponen menyenaraikan pemimpin yang sesuai. Orang lama ada, orang baru ada, wanita ada dan anak muda pun ada,” katanya.
Menurut beliau, PN Johor bagaimanapun belum memuktamadkan senarai calon kerana tarikh PRN masih belum diketahui.
Namun jelasnya, gerak kerja pilihan raya sudah mula digerakkan di setiap bahagian menerusi mesyuarat berkala dan pengukuhan jentera parti.
“Setiap bahagian sebenarnya sudah bergerak untuk menghadapi pilihan raya,” kongsi Dr Sahruddin.
Beliau berkata strategi penerangan dan kempen media sosial turut diperkasakan menerusi unit komunikasi parti bagi memastikan saluran media PN lebih aktif menjelang PRN.
Mengulas pertikaian politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) di Johor ketika ini, Dr Sahruddin berkata PN memilih untuk tidak mencampuri urusan gabungan lain.
“Alhamdulillah parti-parti komponen kami setakat ini harmoni.
“Kami tidak mahu campur apa yang berlaku antara PH dengan BN. Yang penting rakyat boleh menilai siapa calon terbaik untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Bersatu Johor tidak mempunyai masalah sekiranya wujud cadangan kerjasama pilihan raya melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Bagaimanapun, jelasnya, perkara itu perlu dibawa untuk pertimbangan PN Johor dan pimpinan pusat sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ingin saya maklumkan kepada BH bahawa selama ini kita memang membawa wakil daripada Muda dalam setiap sidang media kita dan sedang melihat ke arah mengadakan electoral pact untuk PRN Johor nanti.
“Bersatu Johor setakat ini tiada masalah, cuma perkara itu perlu dibawa kepada PN Johor dan PN Pusat,” katanya.
