Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simpan RM80 sebulan bolehkan 21 sekeluarga buat korban Aidiladha

Jun 9, 2025 | 11:13 AM
Simpanan RM80 sebulan dilakukan 21 ahli keluarga hingga berjaya membeli tiga lembu buat tunai ibadah korban sempena Aidiladha pada 2025.
Simpanan RM80 sebulan dilakukan 21 ahli keluarga hingga berjaya membeli tiga lembu buat tunai ibadah korban sempena Aidiladha pada 2025. - Foto NSTP

CHANGLUN (Kedah): Simpanan kecil serendah RM80 ($24) sebulan akhirnya memberi hasil cukup bermakna buat 21 ahli keluarga apabila dapat menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha 2025 ini.

Ibadah itu dijalankan buat kali pertama bersama keluarga waris Allahyarham Mohd Yusoff dan Allahyarhamha Che Meriyam selepas hampir dua tahun dirancang, selain diikuti usaha menabung secara berterusan mengikut kemampuan masing-masing setiap bulan.

Wakil keluarga, Encik Mohamad Tarmizi Ghazali, 58 tahun, berkata inisiatif itu lahir daripada keinginan adik-beradik menunaikan ibadah korban secara berjemaah, namun sedar tidak semua mampu menyumbang dalam jumlah besar sekali gus.

“Kita ajak yang betul-betul serius nak buat korban dan semua setuju simpan setiap bulan sejak Julai 2024 lalu. Ada yang beri RM80, ada RM100. Kita anggar RM850 seorang cukup untuk satu bahagian lembu.

“Jumlah terkumpul RM16,350 cukup untuk membeli tiga lembu kampung yang bermutu baik dan sesuai untuk ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Felda Batu 8, di Changlun, Kedah, lapor Harian Metro.

Encik Mohamad Tarmizi berkata program itu bukan saja berjaya mengumpulkan ahli keluarga daripada pelbagai negeri, malah turut mengeratkan hubungan antara generasi muda dan tua dalam keluarga besar mereka.

“Bagi kami ini bukan sekadar melaksanakan korban, tetapi korban usaha dan komitmen keluarga. Bukan senang untuk berkumpul kerana ada yang menetap jauh di Selangor dan di Langkawi, Kedah,” katanya.

Bagi anak saudara keluarga itu, Cik Nur Farahana Abd Hamid, 37 tahun, pengalaman menyertai ibadah korban secara berjemaah amat menyentuh hati kerana ia bukan sekadar tentang ibadah, tetapi juga warisan hubungan kekeluargaan.

“Walaupun tok (Allahyarham Mohd Yusoff) dan tok wan (Allahyarhamha Che Meriyam) sudah lama tiada, semangat mereka tetap hidup dalam keluarga ini. Bila kami berkumpul dan buat korban sama-sama, terasa sangat rapat dan meriah.

“Ini kali pertama kali dalam hidup saya laksanakan ibadah korban. Sebelum ini memang teringin tetapi bila fikir kena bayar sekali gus, saya selalu rasa tak mampu.

“Tapi dengan cara kami menyimpan sikit-sikit ini sangat membantu. Tak terasa beban, malah rasa seronok tunggu hasil tabungan sendiri,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg