Topik diikuti
Pergi ke BHkuSimpanan air di Sarawak di paras kritikal akibat kemarau berpanjangan
SIMUNJAN (Sarawak): Ketika Sarawak berdepan keadaan jerebu yang buruk, musim kemarau berpanjangan telah menyebabkan simpanan air di beberapa kawasan di negeri berkenaan berada pada paras amat kritikal.
Di loji rawatan air Simunjan, paras airnya telah merosot kepada kurang satu meter selepas hampir tidak menerima sebarang hujan selama empat bulan.
Penolong Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Cik Shazwani Jamil, berkata sumber utama air loji itu berasal dari Gunung Ngeli yang berhampiran, namun kekurangan hujan sejak April menyebabkan paras air dalam kolam air itu menyusut sedikit demi sedikit.
“Meskipun hujan turun sekali sekala, ia tidak mencukupi untuk memulihkan semula paras air dalam kolam berkenaan.
“Mulai pertengahan Julai, keadaan menjadi semakin kritikal dan sejak 31 Julai, kolam air ini hampir kering sepenuhnya,” kata Cik Shazwani, pada 1 September.
Cik Shazwani, pegawai yang bertanggungjawab menjaga loji Simunjan, berkata paras normal kolam takungan itu adalah 6.5 meter, namun kini ia hanya mencatatkan paras 0.7 meter – yang dianggap paras kritikal.
Loji berkenaan, yang mempunyai kapasiti 5 juta liter air sehari (MLD), membekalkan air kepada lebih 3,200 pengguna domestik dan komersial di pekan Simunjan serta kampung di sekitarnya.
Bagi menangani situasi berkenaan, Cik Shazwani berkata Sarawak Water Sdn Bhd kini membekalkan 1.5 MLD ke beberapa kawasan di Simunjan, manakala 3.5 MLD lagi dibekalkan dari stesen pam penggalak Gedong dan loji rawatan air Slabi di Serian.
Bermula 7 Ogos, JBALB turut memulakan langkah pencatuan air di Kampung Sageng bagi meningkatkan bekalan ke loji rawatan Simunjan.
“Air dari Serian akan disalurkan ke Kampung Sageng terlebih dahulu supaya kampung berkenaan tidak mengalami gangguan bekalan sepanjang musim kemarau ini.
“Kami mengambil keputusan untuk menghentikan bekalan ke Kampung Sageng dari 10 pagi hingga 2 petang dan 10 malam hingga 4 pagi, setiap hari.
“Sepanjang tempoh ini, air dari Serian akan disalurkan terus ke loji rawatan supaya kami dapat membekalkan air ke kawasan Simunjan yang lain.
“Mujur, aduan mengenai gangguan air di Simunjan telah berkurangan sejak kami mula melaksanakan langkah pencatuan (air) ini,” kata Cik Shazwani.
Namun, beliau berkata kampung-kampung yang berada di kawasan lebih jauh masih belum mendapat bekalan air berikutan tekanan air yang rendah.
Bagi kampung-kampung berkenaan, Cik Shazwani berkata JBALB menghantar bekalan air menggunakan lori atau lori tangki setiap hari, atau mengikut permintaan ketua masyarakat dan ketua kampung tempatan.
“Setiap lori membawa 5,400 liter air. Kami mempunyai antara lima hingga 10 lori yang menghantar bekalan air setiap hari ke rumah dan kampung yang memerlukan,” katanya, sambil menambah bahawa bekalan air untuk penghantaran itu diperoleh dari kawasan jiran, Asajaya.
Simunjan merupakan satu daripada empat loji rawatan air yang dikenal pasti sebagai sasaran utama bagi operasi pembenihan awan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak untuk memulihkan semula simpanan air mereka.
Loji lain yang turut terlibat ialah Lingga, Spaoh dan Lichok.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi SDMC, berkata operasi pembenihan awan yang dijadualkan dari 3 hingga 5 September itu turut bertujuan meningkatkan paras air kolam air di empangan hidroelektrik Sarawak.
