Topik diikuti
Pergi ke BHkuSarawak, Lembah Klang paling teruk terjejas jerebu, 30 kawasan di M’sia catat indeks tidak sihat
KUALA LUMPUR: Krisis jerebu berpanjangan di Malaysia masih belum menunjukkan tanda reda, dengan 30 stesen pemantauan di seluruh Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap ‘tidak sihat’.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 101 dengan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh menimbulkan risiko kesihatan kepada orang awam.
Manakala, golongan rentan termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan kronik berdepan risiko lebih tinggi.
Sarawak kekal sebagai kawasan yang mencatatkan pencemaran udara terburuk di Malaysia setakat ini, lapor MalayMail.
Stesen pemantauan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi di seluruh Malaysia iaitu 180, menghampiri paras ‘sangat tidak sihat’ pada 201.
Sri Aman menyusul dengan bacaan 169; manakala Samarahan dan Sarikei masing-masing merekodkan 157 dan 152.
Pihak berkuasa mengaitkan kemerosotan mutu udara di Sarawak dengan gabungan asap rentas sempadan, cuaca kering yang dipergiat fenomena El Nino serta kebakaran tanah gambut dan hutan di kawasan tempatan.
Di Semenanjung, Lembah Klang diselubungi asap berjerebu, dengan kira-kira enam stesen di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat bacaan dalam kategori tidak sihat.
Shah Alam (Selangor) merekodkan bacaan tertinggi di Semenanjung Malaysia dan ketiga tertinggi di seluruh negara iaitu 162.
Putrajaya mencatatkan 156; diikuti Batu Muda di Kuala Lumpur dan Kuala Selangor masing-masing dengan 155; Banting (152) dan Petaling Jaya (151).
Mutu udara turut merosot dengan ketara di beberapa negeri lain di Semenanjung.
Perak merekodkan bacaan tidak sihat secara meluas, dengan Tanjung Malim, Seri Manjung, Tasek Ipoh dan Taiping mencatatkan bacaan antara 152 dengan 155; manakala Pengkalan di Ipoh merekodkan 137.
Di Johor, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing mencatatkan bacaan 152, manakala Kota Tinggi merekodkan 119.
Di negeri lain, Nilai di Negeri Sembilan dan Bukit Rambai di Melaka masing-masing merekodkan bacaan 155, Alor Gajah (151); manakala Sungai Petani di Kedah dan Balik Pulau di Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 152.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengulangi bahawa jerebu yang melanda secara meluas pada Ogos ini berpunca daripada tempoh cuaca kering berpanjangan berkaitan fenomena El Nino, jumlah hujan di bawah paras purata serta pembakaran terbuka secara besar-besaran di dalam dan luar negara.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi seperti ibu hamil, warga emas serta pesakit jantung atau paru-paru, dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan di luar, memakai pelitup muka perlindungan, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta tidak melakukan pembakaran terbuka.
