Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendirian BN Johor tolak DAP bukan atas sentimen perkauman
Pendirian BN Johor tolak DAP bukan atas sentimen perkauman
Pendirian BN Johor tolak DAP bukan atas sentimen perkauman
Pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk tidak bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum atau usaha menjejaskan kerjasama antara masyarakat berbilang bangsa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kenyataan Datuk Onn Hafiz dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi BN Johor yang menyatakan pendirian politik gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dan bukannya sebagai Menteri Besar Johor.
“Saya berpandangan tafsiran bahawa pendirian tersebut merupakan penolakan terhadap kerjasama antara kaum adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
“Datuk Onn Hafiz bercakap sebagai Pengerusi BN Johor dan menyatakan pendirian politik parti. Itu adalah hak dan tanggungjawab beliau sebagai ketua parti politik,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Jun.
Datuk Mohd Jafni berkata perbezaan pendirian politik antara parti tidak seharusnya diterjemahkan sebagai penolakan terhadap sesuatu kaum kerana perkara itu akan menyempitkan ruang demokrasi dalam negara.
Menurut beliau, Menteri Besar Johor tidak pernah menyentuh soal kaum atau mempertikaikan hak mana-mana masyarakat ketika menyatakan pendirian berhubung DAP.
Sebaliknya, katanya, Datuk Onn Hafiz hanya menegaskan bahawa BN Johor mahu bergerak menggunakan identiti, kekuatan dan keyakinannya sendiri dalam menghadapi pilihan raya negeri.
“Itu adalah pendirian politik. Ia bukan perkauman dan bukan juga satu bentuk ekstremisme seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak,” katanya.
Beliau turut mempertahankan rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz yang menurutnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Jelasnya, pelbagai inisiatif kebajikan, pembangunan ekonomi, perumahan serta bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.
“Jika benar pendirian tersebut bersifat antikaum seperti yang didakwa, sudah tentu rakyat pelbagai kaum tidak akan menikmati manfaat yang sama daripada dasar dan inisiatif kerajaan negeri sepanjang empat tahun ini.
“Hakikatnya bantuan kebajikan diberikan kepada semua kaum, peluang ekonomi dibuka kepada semua, program perumahan dilaksanakan untuk semua dan pembangunan negeri dirancang untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata perdebatan mengenai kerjasama politik perlu kekal dalam ruang politik dan tidak dicampuradukkan dengan isu kaum sehingga menimbulkan persepsi yang tidak selari dengan fakta serta realiti pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan BN Johor sentiasa menghormati kepelbagaian masyarakat dan hak semua kaum di negeri itu, namun pada masa sama mempunyai hak untuk menentukan pendirian politiknya sendiri.
“Barisan Nasional Johor menghormati semua kaum dan menghormati kepelbagaian masyarakat.
“Namun BN Johor juga berhak menentukan pendirian politiknya sendiri dan hak itu tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana ia tidak selari dengan kehendak pihak lain,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang memberi ruang kepada setiap parti politik menentukan hala tuju masing-masing, manakala rakyat pula mempunyai hak untuk membuat penilaian dan pilihan mereka sendiri.
