KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat dalam dakwaan skandal rasuah di Sabah mengeluarkan video baru berkaitan perbincangan membabitkan dana berjumlah puluhan juta ringgit.
Kali ini versi suntingan daripada rakaman perbincangan yang lebih panjang antara pemberi maklumat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk, di Sabah, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Pemberi maklumat berkata versi suntingan itu tidak termasuk perbincangan mengenai wang yang didakwa sebagai suapan untuk menyokong projek negeri.
Dalam rakaman tersebut, perbincangan berpusat pada projek yang dikatakan ‘disekat’ oleh seseorang, yang dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Selain projek saya, Datuk ada banyak projek lain, adakah dia sekat mana-mana projek Datuk?” tanya pemberi maklumat kepada Datuk Mohd Arsad.
“Banyak,” jawab ahli politik berusia 49 tahun itu, yang juga Pengerusi Softwoods Sabah Bhd, syarikat yang terlibat dalam penanaman semula pokok secara besar-besaran.
“Banyak, Tenom (projek) terbaru, RM70 juta ($21 juta),” tambahnya, lapor Malaysiakini.
Datuk Mohd Arsad, yang wajahnya tidak kelihatan dalam beberapa bahagian video itu turut dikatakan menyebut nama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, dan mengaitkan masalah (sekatan projek) tersebut dengan ‘pasukan lama’, dipercayai diketuai Datuk Masidi.
“RM70 juta, saya kutip 20 peratus. Berapa banyak duit? Konsesi tiga tahun. Kau fikir saya tidak sakit hati? Saya belanja ketua bahagian berapa banyak sudah,” tambah Datuk Mohd Arsad dalam video itu.
Video itu bagaimanapun tidak menjelaskan perincian berkaitan projek tersebut, sama ada miliknya atau komisen saja.
Datuk Arsad adalah antara sekumpulan Adun Umno yang menyokong Datuk Seri Hajiji semasa krisis politik Sabah pada 2023, selepas Umno Sabah menarik balik sokongannya.
Umno Sabah bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan dakwaan skandal rasuah itu.
Datuk Arsad tidak menafikan perbualan tersebut berlangsung, bagaimanapun memohon perkara itu diserahkan untuk siasatan pihak berkuasa.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertemu seorang pemberi maklumat, yang juga seorang peguam, berhubung dakwaan beberapa Adun di Sabah berbincang tentang rasuah untuk dapatkan lesen projek.
Namun pemberi maklumat berkenaan belum membuat laporan rasmi kepada SPRM kerana menuntut dirinya dilindungi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sebelum ini juga mengesahkan lelaki pemberi maklumat berusia 36 tahun itu yang turut mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar, berhubung dakwaan rasuah di Sabah itu menerima ugutan bunuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg