KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah kini menjadi tumpuan susulan kontroversi skandal rasuah yang didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia susulan kenyataan Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan bahawa beliau terlibat dalam skandal rasuah baru-baru ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Sindumin itu berkata mungkin ada pihak mengambil kesempatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang meluas sekarang untuk mengaitkan beliau dengan dakwaan rasuah itu.
“Biarlah mereka tularkan, sekarang ada AI ini (jadi) masalah. Tidak payah (nafi), cakap saja biar SPRM yang siasat kalau ada kes. Kita jawab banyak, lagi banyak nanti (timbul)... Sekarang ini boleh macam-macam AI,” katanya lapor media Malaysia.
Beliau menambah bahawa beliau sedia datang ke SPRM untuk memberikan kerjasama jika pihak tertentu mempunyai bukti mengenainya.
“Ya, kalau ada bila-bila masa, saya tiada masalah, (beri kerjasama) ya (saya datang),” katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu juga mahu perkara tersebut diperjelaskan kerana “ketika ini ada pelbagai musuh yang datang”.
“Kita jelaskan perkara ini. Sekarang ini kita banyak musuh macam-macam. Itulah, hati-hati juga dalam musim ini, macam-macam orang boleh buat,” ujarnya.
Dr Yusof juga tidak menolak ia adalah satu agenda “musuh untuk menjatuhkan” beliau memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal menjelang.
Sebelum ini, satu video yang dimuat naik sebuah portal selama 17 saat memaparkan rakaman suara perbualan yang didakwa melibatkan Adun Sabah dan kontraktor berhubung kegiatan rasuah.
Suara Adun tersebut didakwa adalah Dr Yusof, namun setakat ini belum ada kesahihan mengenainya.
Sebuah portal berita baru-baru ini turut mendedahkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit hingga RM4 juta ($1.2 juta) yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata peguam atau pemberi maklumat berkenaan sudah menunjukkan klip audio selama 17 saat berkenaan kepada pegawai kanan SPRM, namun laporan mengenai kes itu belum diterima, berikutan kebimbangan pemberi maklumat mengenai perlindungan diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg