Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemberi maklumat dakwaan rasuah Adun Sabah terima ugutan bunuh

Nov 14, 2024 | 1:59 PM
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Polis mengesahkan pemberi maklumat yang mengutus surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dakwaan rasuah di Sabah baru-baru ini menerima ugutan bunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kes itu sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Rahsia Bukit Aman di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang menangani jenayah ugutan tanpa nama.

Pemberi maklumat itu, seorang lelaki berusia 36 tahun, menerima panggilan ugutan melalui WhatApps daripada nombor tidak dikenali.

“Semasa panggilan itu, suspek, yang dipercayai adalah seorang lelaki tempatan, mengugut pemberi maklumat dalam bahasa Mandarin dengan mengaku dia daripada sebuah kumpulan pembunuh upahan dan menyuruh pemberi maklumat jangan bersuara.

“Suspek memberi amaran jika pemberi maklumat tidak mengikut arahan itu beliau akan dibunuh dalam 24 jam dan berkata itu adalah amaran terakhir,” kata Tan Sri Razarudin, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata suspek turut menghantar dua gambar, sekeping gambar pistol bersama peluru dan sekeping lagi gambar orang kena tembak di jalan raya.

Pemberi maklumat berasa amat takut dan bimbang akan keselamatannya dan keluarganya, ujar beliau.

“Siasatan polis mendapati pemberi maklumat hanya menerima satu panggilan dan tidak menerima apa-apa gangguan selepas menyekat nombor telefon itu.

“Polis membuat semakan nombor telefon itu melalui sistem yang ada dan mendapati nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan serta tiada rekod mengenai pemiliknya atau penama,” ujarnya.

Tan Sri Razarudin berkata polis juga tidak menerima sebarang laporan lain mengenai nombor telefon itu, dan siasatan tidak menunjukkan sembarang rekod relevan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertemu seorang pemberi maklumat, yang juga seorang peguam, berhubung dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sebuah negeri berbincang tentang rasuah untuk mendapatkan lesen projek.

SPRM menyatakan peguam berkenaan memainkan klip audio selama 17 saat yang memperdengarkan perbualan beberapa individu yang dikatakan Adun itu mengenai wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit.

Peguam itu berkata anak guamnya sedia memberikan semua bukti dan keterangan di mahkamah tetapi meminta jaminan beliau tidak disiasat dan diberi perlindungan.

SPRM tidak bersetuju dengan permintaan itu kerana ia tidak selari dengan prosedur yang ditetapkan, dan menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan jaminan bertulis tentang kekebalan tanpa maklumat terperinci mengenai salah laku yang didakwa berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg