Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim pengembara bakal perluas perlindungan kepada pekerja M’sia rentas S’pura

Dec 23, 2025 | 1:19 PM
Malaysia, pekerja, rentas sempadan, skim pengembara, perlindungan keselamatan
Ratusan ribu pekerja dari Malaysia merentasi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura setiap hari dan terdedah kepada risiko keselamatan yang tidak dijangka. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Inisiatif peluasan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja rentas sempadan melalui Skim Pengembara disifatkan bertepatan keperluan semasa pekerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura.

Pengerusi Koperasi Usahawan India Johor Berhad (KUIJB), Encik S Ananthan, berkata pihaknya menyokong penuh pengumuman mengenainya oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Datuk Ramanan pada 19 Disember lalu dilaporkan berkata Kementerian Sumber Manusia sedang membuat kajian awal bagi mewujudkan skim pengembara khusus untuk melindungi hampir 400,000 rakyat Malaysia yang merentasi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura.

Beliau mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperluas perlindungan sosial kepada golongan itu yang menjadi tunjang ekosistem keusahawanan, termasuk usahawan kecil, pekerja mahir dan anggota koperasi.

“Kami menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Madani untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura.

“Langkah ini amat bertepatan dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan masa depan pekerja rentas sempadan terus terjamin,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Datuk Ramanan, kajian yang dilaksanakan menerusi Perkeso itu bertujuan memastikan golongan pekerja rentas sempadan tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial, khususnya berkaitan risiko kemalangan semasa perjalanan harian mereka.

Beliau berkata Perkeso diberi masa untuk menjalankan kajian terperinci bagi merangka formula perlindungan yang sesuai, praktikal dan berkesan, selaras dengan keperluan sebenar pekerja pengembara.

“Jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hampir 400,000 orang dan mereka melintasi sempadan setiap hari.

“Kita ambil maklum perkara ini dan saya telah arahkan Perkeso mencari jalan bagaimana kita boleh memberi perlindungan keselamatan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Bendahari KUIJB, Encik B Khathhirravvan, berkata perlindungan sosial yang terangkum mampu memberi kesan positif jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat.

“Terima kasih kepada kerajaan atas langkah proaktif ini. Pelaksanaan skim ini nanti bukan saja akan memberi manfaat secara langsung kepada pekerja, malah turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

“Perlindungan sosial yang menyeluruh akan meningkatkan keyakinan tenaga kerja serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg