Peningkatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah penting yang diambil pemerintah setelah menilai secara teliti keperluan perbelanjaan negara.
Ini merupakan jawapan dan penjelasan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, terhadap dakwaan Parti Demokratik Singapura (SDP) yang berpendapat bahawa pemerintah seharusnya mengkaji kesan peningkatan GST pertama sebelum memutuskan untuk meneruskan kenaikan GST kedua.
“Kami tidak mahu menaikkan cukai jika ia boleh dielakkan. Namun, demi menjaga rakyat kita, membuat persiapan menghadapi masa depan yang tidak menentu dan menyokong syarikat, pekerja serta keluarga kita, kita perlu pastikan kedudukan fiskal negara kukuh.
“Ini memberi ruang kepada pemerintah untuk memberi bantuan tambahan apabila diperlukan, terutama kepada warga emas kita,” jelasnya.
Encik Chee turut menyatakan bahawa langkah seperti Pakej Jaminan dan Skim Baucar GST telah banyak membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Apabila digabungkan, kenaikan GST bersama bantuan yang disediakan melalui Pakej Jaminan dan skim baucar ini dapat melindungi isi rumah tempatan daripada kesan penuh kenaikan tersebut, sambil memastikan golongan pelancong, warga asing dan berpendapatan tinggi turut menyumbang lebih,” tambahnya.
Encik Chee menegaskan semula bahawa matlamat pemerintah adalah untuk mewujudkan sistem yang adil dan menyokong rakyat sambil mengekalkan kekuatan kewangan negara.
“Inilah maksud kami dengan sebuah masyarakat yang adil dan saksama – sistem percukaian dan pengagihan yang progresif dan menyeluruh. Kepercayaan PAP (Parti Tindakan Rakyat) adalah untuk menjaga semua rakyat Singapura, khususnya golongan lebih memerlukan,” ujarnya.
Sebelum ini beberapa parti pembangkang telah mencadangkan supaya kenaikan GST ini ditangguhkan ataupun dibatalkan.
Di Facebooknya pada 26 April, Encik Chee menasihati agar semua pihak berhati-hati apabila memberi cadangan seperti ini.
“Hasil GST yang dikumpul daripada pelancong, warga asing dan golongan berada adalah sebahagian daripada sistem progresif kita yang membolehkan kita membiayai pelbagai perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan awam.
“Tanpa kenaikan GST, kita tidak akan mempunyai sumber mencukupi untuk menyokong warga emas kita dalam masyarakat yang menua. Kini, kedudukan kewangan kita jauh lebih kukuh untuk menghadapi cabaran jangka panjang dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya lagi.
Encik Chee juga berkongsi tentang peranan barunya mengetuai pasukan PAP bagi GRC Bishan-Toa Payoh, bersama rakan sepasukan Encik Saktiandi Supaat serta dua muka baru – Cik Elysa Chen dan Encik Cai Yinzhou.
Beliau mengambil alih peranan itu daripada Dr Ng Eng Hen, yang telah memimpin kawasan itu sejak 2001 dan baru-baru ini mengumumkan persaraannya daripada politik.
“Saya bukan sahaja akan menjaga kawasan saya, tetapi juga bertanggungjawab ke atas seluruh GRC ini sekiranya terpilih,” kata Encik Chee.
Pasukan PAP bagi GRC Bishan-Toa Payoh kini giat menjalankan lawatan ke kawasan kejiranan dan rumah untuk memperkenalkan dua calon baru kepada penduduk setempat.
“Kededua mereka sangat bersemangat untuk belajar. Mereka mempunyai latar belakang dalam kerja sosial dan perusahaan sosial, dan saya percaya pengalaman ini akan membawa manfaat kepada masyarakat Bishan-Toa Payoh.
“Sebagai ketua pasukan, saya akan bekerjasama rapat dengan Saktiandi serta dua calon baru ini untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk kami,” kata Encik Chee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg