SME Johor mampu tembusi pasaran S’pura jika diberi bimbingan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SME Johor mampu tembusi pasaran S’pura jika diberi bimbingan

Kerjasama bank, mentor kewangan dan geran disaran bantu peniaga kecil berkembang
Feb 9, 2026 | 1:38 PM

SME Johor mampu tembusi pasaran S’pura jika diberi bimbingan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Johor, SME, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, usahawan kecil dan sederhana, pasaran Singapura
Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Ismail Karim (paling kiri), menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta program ‘Gerak Kasih Pusara’, Encik Mohd Khairul Anuar Soffian (dua dari kanan). Turut hadir ialah Naib Presiden 2 Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Abd Latif Bandi (kanan), dan Timbalan Ketua Biro Kontraktor Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad. - Foto DEWAN TERAJU USAHAWAN BUMIPUTERA JOHOR

Usahawan kecil dan sederhana (SME) Bumiputera di Johor berpotensi menembusi pasaran Singapura sekiranya diberikan sokongan pembiayaan, bimbingan serta kos penyertaan program perniagaan yang lebih munasabah.

Naib Presiden 2 Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Abd Latif Bandi, berkata pihaknya sejak 2023 telah membawa usahawan tempatan menyertai pameran perdagangan di republik itu termasuk di Singapore Expo.

Beliau berkata penyertaan tersebut membuka peluang pengusaha makanan dan produk tempatan memperkenalkan jenama masing-masing kepada pasaran antarabangsa.

“Kita memang sudah beberapa kali bawa usahawan ke Singapura melalui pameran. Anggaran sekitar 10 hingga 15 pengusaha terlibat setiap kali program, tetapi sebenarnya jumlah jenama lebih banyak kerana seorang pengusaha kadangkala membawa sehingga 30 produk daripada peniaga kecil lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas menghadiri program ‘Gerak Kasih Pusara, Gotong Royong Perdana Pembersihan Kubur Mahmoodiah’, di Johor Bahru.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan pengusaha mikro menumpang platform syarikat lebih besar kerana kos untuk masuk ke pasaran luar negara secara bersendirian agak tinggi.

Katanya lagi, minat usahawan untuk menembusi pasaran Singapura semakin meningkat, terutama selepas galakan kerajaan negeri memperkukuh perdagangan rentas sempadan.

“Ramai yang berminat, tetapi cabaran utama ialah kos dan penyelarasan. Jika bantuan gerai dan penyertaan dapat disediakan secara tersusun, lebih ramai SME boleh kita bawa bersama,” katanya.

Datuk Abd Latif berkata antara halangan terbesar yang dihadapi peniaga kecil ialah kos sewaan tapak niaga dalam festival dan acara perniagaan yang boleh mencecah ribuan ringgit walaupun tempoh jualan hanya beberapa hari.

“Ada acara, satu gerai boleh sampai RM3,000 ($968) hingga RM5,000. Peniaga kecil berniaga tiga atau empat hari sahaja, jualan sekadar cukup makan, susah hendak dapat keuntungan,” katanya.

Selain kos penyertaan, beliau turut menekankan kesukaran usahawan mendapatkan pembiayaan bank akibat syarat kelayakan yang ketat.

“Ramai peniaga kecil tidak tahu apa yang bank perlukan. Mereka perlu jaga akaun, aliran tunai dan rekod kewangan dengan disiplin sebelum boleh mohon pinjaman,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor mengadakan klinik kewangan serta kerjasama dengan beberapa institusi perbankan bagi membantu pengusaha memperbaiki pengurusan kewangan.

“Kita bekerjasama dengan beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam dan OCBC untuk bimbing usahawan. Ada juga program khas selepas Ramadan melibatkan kira-kira 50 peserta, khususnya peniaga trak makanan dan penjaja,” katanya.

Sementara itu, pada program berkenaan, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Ismail Karim, berkata pihaknya turut melaksanakan program kemasyarakatan sebagai usaha mendekati masyarakat.

Beliau berkata kira-kira 1,000 sukarelawan terdiri daripada ahli dewan, pelajar dan masyarakat setempat menyertai program ‘Gerak Kasih Pusara di Tanah Perkuburan Mahmoodiah’.

“Program ini bertujuan membersihkan kawasan perkuburan serta menggalakkan masyarakat kembali menziarahi waris masing-masing menjelang Ramadan,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan menggalakkan membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap nilai kemasyarakatan dan warisan.

“Kita berharap waris akan kembali menziarahi pusara terutama menjelang bulan puasa dan Hari Raya. Selain program ini, kita juga merancang kegiatan lain seperti korban perdana pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut mencerminkan peranan dewan bukan sahaja dalam bidang keusahawanan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg