Solat isyak berjemaah di surau menyelamatkan kira-kira 90 pelajar daripada terbabit kebakaran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di Kuala Lumpur pada malam 28 April.
Ketika kejadian sekitar 8.40 malam itu, semua pelajar berusia antara 13 dengan 17 tahun berada di surau sekolah kerana menunaikan solat berjemaah, lapor Berita Harian Malaysia.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Japari Tajuddin, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.43 malam.
Beliau berkata empat jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, Sentul, Jalan Hang Tuah serta Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.
“Operasi memadamkan kebakaran yang membabitkan kekuatan 40 anggota segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 9.40 malam,” katanya.
Beliau berkata api berjaya dipadam sepenuhnya dengan kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 80 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit kerana semasa kejadian, kesemua pelajar sedang berada di surau,” katanya.
Katanya, Unit Forensik JBPM akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg