Tahun 2024 semakin hampir melabuhkan tirainya. Menyorot perjalanan setahun sebelum ketibaan 2025 yang diharap lebih gemilang, Malaysia meninggalkan 2024 dengan pelbagai catatan penting dalam sistem pemerintahannya, politik, pergolakan sosial, bencana alam hinggalah tragedi hitam yang mencalar imej negara itu di mata dunia.
Membuka jendela 2024 dengan istiadat bersejarah pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-17, disulami pelbagai peristiwa menyentuh emosi dan ditutup dengan bencana banjir antara terburuk dalam sejarah, mengisi 2024 yang penuh warna.
Perkembangan pelbagai kes didakwa penyelewengan dana awam dan wang rakyat antaranya membabitkan usahawan fesyen ternama, Datin Vivy Yusof dan suami; pelakon Rozita Che Wan dan pasangan suami isteri Aliff Teega dan Aisyah Hijanah meninggalkan seribu pengajaran.
Ikuti imbauan Malaysia 2024 dan semoga tahun baru 2025 membawa Malaysia melakar lebih banyak kejayaan dan kemakmuran.
Malaysia dikenali sebagai antara negara yang mengamalkan Sistem Raja Berpelembagaan dan merupakan satu-satunya di dunia yang melaksanakan secara penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu.
Sistem beraja Malaysia berbeza daripada negara lain di dunia, dengan jawatan sebagai ketua negara tidak diturunkan kepada keturunannya apabila raja itu meninggal dunia atau turun takhta, sebaliknya secara penggiliran dan pengundian.
Sebaik Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari, Malaysia kembali menyaksikan detik bersejarah pelantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menaiki takhta Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Sultan Ibrahim telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-263.
Istiadat pertabalan rasmi Sultan Ibrahim, 65 tahun, sebagai Agong berlangsung gilang-gemilang di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 20 Julai, enam bulan selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan.
Pelantikan Sultan Ibrahim mengimbau nostalgia 40 tahun lalu, apabila mengulangi proses bersejarah yang sama seperti Almarhum ayahandanya iaitu Sultan Iskandar Sultan Ismail yang diangkat sebagai Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Spekulasi kencang mengenai pengampunan dan pembebasan mantan Perdana Menteri Malaysia keenam, Najib Tun Razak, yang dipenjara kerana disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta ($12.7 juta) SRC International terjawab selepas Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada 29 Januari memutuskan pengurangan hukuman untuk mantan Presiden Umno itu.
Dengan pengampunan yang mengejutkan banyak pihak itu, Najib diberi pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Ini bermakna mantan Menteri Kewangan itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2029.
Najib, yang turut berdepan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad bernilai RM2.3 bilion, terpalit polemik titah adendum atau perintah tambahan untuk dia menjalani baki hukuman penjara itu dengan hukuman tahanan rumah.
Titah adendum itu menimbulkan perdebatan awam dengan kesahihan dan kewujudannya akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.
2024 juga menyaksikan banyak kes orang hilang berakhir dengan kematian tragik.
Antaranya seorang guru wanita dari Johor Bahru, Allahyarhamha Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilapor hilang pada Disember 2023, disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam pada Ogos 2024.
Anggota tubuhnya ditemui tanpa kepala, manakala kededua tangan dan kaki dalam tong sampah. Pelaku – seorang guru dan kenalan mangsa – telah didakwa di mahkamah.
Allahyarhamha Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun, yang dilapor hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Perak pada Julai, ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah ladang. Anggota polis yang dipercayai teman lelaki mangsa disyaki pelaku.
Pada September, seorang pegawai kewangan Felcra, Allahyarham Sabari Baharom, 62 tahun, disahkan dibunuh dengan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Kedah.
Sehingga hari ini, mayat mangsa tidak ditemui. Persoalan terungkai selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membunuh Allahyarham Sabari selepas menyamun wang mangsa RM16,000 untuk berjudi.
Sejarah duka tercatat apabila seorang pelancong wanita warga India terjerumus ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada pagi 23 Ogos. Jasadnya ghaib di bawah bumi dan nasib tidak diketahui sehingga operasi pencarian sembilan hari ditamatkan pada 31 Ogos.
Keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, tidak menyangka percutian di Malaysia sekelip mata meninggalkan detik hitam buat mereka.
Usaha pencarian menggunakan pelbagai kaedah dan pengorbanan pasukan penyelamat, termasuk menyelami air kumbahan sedalam dua meter dan sejauh tujuh kilometer ke loji kumbahan tidak membuahkan hasil.
Insiden malang itu meninggalkan trauma kepada pengunjung dan pelancong untuk ke Jalan Masjid India. Malah, keselamatan Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur terus mengundang pertikaian awam menyusuli beberapa kejadian serupa.
Menyusuli kejadian itu, kerajaan menjalankan audit integriti untuk melihat keseluruhan sistem saliran di Jalan Masjid India dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan awam.
Bermula dengan serbuan polis menerusi Op Global yang menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikendalikan Global Ikhwan Service and Business Holdings pada 11 September, membawa kepada pembongkaran amat dahsyat pelbagai kegiatan hitam dalam kumpulan perniagaan itu.
Bukan saja terpalit jenayah pengabaian dan serangan seksual terhadap kanak-kanak, perhambaan pekerja dan penggubahan wang haram, malah melampaui doktrin ajaran sesat Al-Arqam dan lebih parah ialah budaya kultus dan ketaksuban membarah yang diamalkan dalam kalangan pengikut kumpulan itu.
Usai pelbagai siasatan dijalankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan Global Ikhwan, yang mempunyai rangkaian perniagaan di serata dunia, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Seramai 22 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan, Nasiruddin Mohd Ali, isteri, anak dan pengikutnya, berdepan tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di mahkamah, manakala beberapa pengajar didakwa atas tuduhan meliwat. Siasatan itu juga melumpuhkan operasi Global Ikhwan.
Di sebalik deretan kisah perpisahan artis, berita keretakan rumah tangga dan perceraian pasangan pelakon, Fattah Amin dan Nur Fazura, paling mencuri tumpuan dan meninggalkan kesan kepada pengikut mereka.
Seluruh Malaysia diruntun emosi dan mendoakan ‘FattZura’ kembali bertaut, namun ikatan perkahwinan tujuh tahun idola ramai itu terlerai pada 7 Oktober.
Media sosial dibanjiri pelbagai komen yang rata-rata sukar menerima berita perpisahan pasangan sepadan itu, malah ramai rakan artis turut menawarkan diri menjadi jambatan menyatukan mereka kembali.
Usahawan dan pempengaruh Datin Vivy Yusof; Alif Teega dan isteri Aisyah Hijanah serta terbaru, pelakon Rozita Che Wan, mencetuskan kontroversi terkait penyelewengan dana awam.
Datin Vivy dan suami menghadapi tuduhan pecah amanah RM8 juta wang pelaburan syarikat strategik, Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), dalam platform e-dagang, FashionValet, yang diasaskan mereka.
Ia selepas Khazanah dan PNB dilapor menanggung kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pelaburan minoriti mereka dalam FashionValet.
Alif Teega dan Aisyah Hijanah pula mencalar kepercayaan awam selepas didakwa salah guna wang infak lebih RM1.5 juta.
Kes Rozita, atau mesra dengan panggilan Che Ta, mengejutkan peminatnya apabila kediamannya diserbu pihak berkuasa berikutan kegagalan melunaskan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM1 juta sejak 2017.
Ketiga-tiga kes itu mendapat kecaman awam yang mengaitkan penyelewengan itu dengan imej kemewahan yang sering ditonjolkan mereka.
Kalendar 2024 menutup tirai dengan bencana banjir terburuk dalam tempoh sedekad, yang telah menjejaskan lebih 150,000 mangsa, memusnahkan ribuan kediaman, kerugian harta benda jutaan ringgit, malah merekodkan korban enam nyawa.
Kelantan negeri paling teruk dilanda banjir sejak akhir November dan hingga awal Disember, dengan banyak kediaman hanya menampakkan bumbung dek ditenggelami banjir.
Walaupun banjir di Pantai Timur fenomena biasa kerana peralihan musim monsun, bencana kali ini meninggalkan kesan kemusnahan yang dahsyat.
Gelombang kedua banjir diramal boleh berlaku bila-bila masa sehingga Mac 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg