KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di Kuala Lumpur sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa.
Salah seorang daripadanya yang enggan dikenali, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang mempertimbangkan perkara itu memandangkan operasi berkenaan memberi kesan mendalam terhadap mereka.
“Ramai orang kata bahawa kerana kami berada di situ (di spa berkenaan), bermakna kami terlibat secara langsung dalam kes ini. Orang ramai sudah menjatuhkan hukuman terhadap kami walaupun bukti belum mencukupi.
“Muka kami sudah pun didedahkan kepada umum. (Soalannya sekarang) Bolehkah kami saman pihak berkuasa?” soal individu itu.
Individu itu juga berkata serbuan itu memberi kesan terhadap privasi mereka yang ditahan apabila video mengenai mereka tersebar di media sosial.
“Kami kini berada dalam trauma. Ramai orang tidak dapat tidur, ada yang kehilangan keluarga atau pekerjaan,” tambahnya.
Kisahnya selari dengan mereka yang lain, termasuk seorang pegawai kerajaan yang dilaporkan diarahkan untuk meletak jawatan selepas ditahan semasa serbuan itu.
Menurut laporan, pihak berkuasa menahan 201 lelaki berumur antara 19 hingga 60 tahun di premis Jalan Raja Laut itu selepas menerima maklumat awam dan menjalankan operasi pemantauan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar, dipetik oleh Berita Harian Malaysia berkata risikan mendapati terdapat ‘aktiviti tidak bermoral’ yang melibatkan lelaki gay di premis tersebut.
Mereka yang ditahan dilaporkan termasuk 80 lelaki beragama Islam serta warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
Namun, mahkamah menolak permohonan reman polis terhadap mereka yang ditahan.
Kumpulan hak asasi Justice for Sisters (JFS) mengecam operasi itu menyifatkannya sebagai diskriminasi, dan berkata pihak berkuasa menyasarkan spa berkenaan berdasarkan persepsi terhadap pelanggan premis tersebut.
JFS juga mengkritik kehadiran wartawan semasa serbuan, yang menurut mereka menyebabkan pelanggaran privasi pelanggan premis itu.
Pada 2 Disember, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mempertahankan tindakan polis, menegaskan bahawa serbuan itu tidak menjejaskan privasi.
Terdahulu pihak polis juga dibidas pelbagai pihak kerana gagal meneruskan siasatan sehingga membawa kepada pendakwaan kepada lelaki yang ditangkap dan dipercayai melakukan kesalahan hubungan seks songsang.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian dalam mengambil tindakan terhadap kes tangkapan lelaki terbabit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg