Penahanan ratusan lelaki termasuk kakitangan awam dan golongan bapa di sebuah pusat kesihatan dan spa yang popular dalam kalangan lelaki gay di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 28 November lalu, telah mencetuskan perdebatan mengenai kefahaman dan kelompangan dalam undang-undang Malaysia.
Ia menyusuli kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, yang dilaporkan berkata pihak berkuasa sukar mengenakan tindakan terhadap lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti seks songsang dalam serbuan itu, berikutan tiada dalam kalangan mereka yang mengaku sebagai ‘mangsa’.
Kes berkenaan disiasat polis mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan (KK) kerana persetubuhan luar tabii dan Seksyen 372 KK kerana eksploitasi pelacuran.
Untuk siasatan kes sedemikian, pengakuan pihak yang menjadi mangsa diperlukan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dilakukan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Datuk Fadil berkata tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah itu berikutan tiada pihak yang mengaku menjadi mangsa dan kes tidak dapat diteruskan.
Berikutan itu, 171 warga Malaysia daripada keseluruhan 202 individu yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan itu dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka dan mereka hanya diberi kaunseling.
Justeru Datuk Fadil turut menggesa pindaan undang-undang segera dilakukan dan jika tiada usaha ke arah itu diambil, maka menurutnya, segala tindakan membanteras jenayah sosial khususnya gejala songsang yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sia-sia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pula berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih menyiasat kes berkenaan mengikut peruntukan berkaitan kesalahan liwat dan percubaan melakukan kesalahan itu.
Beliau menegaskan perbuatan songsang seperti itu tidak boleh diterima undang-undang dan agama.
Namun, banyak pihak turut mempertikaikan tindakan yang boleh diambil Jawi berikutan kekurangan bukti.
PDRM pula mengakui turut melihat untuk memperkasakan serbuan sedemikian pada masa depan bagi mengelak kegagalan mendapatkan bukti untuk meneruskan kes.
Sementara itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian dalam mengambil tindakan terhadap kes tangkapan lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti hubungan songsang terbabit oleh pihak polis.
Presidennya, Encik Muhammad Hisham Marzuki, berkata PPMM maklum bahawa untuk mensabit kesalahan jenayah sivil, elemen pembuktian adalah ketat, iaitu perbuatan seksual tersebut mesti berlaku dan disaksikan atau wujudnya pengakuan salah.
“Namun, ketiadaan ‘aksi seksual’ semasa serbuan bukan alasan untuk melepaskan pelaku tersebut begitu sahaja.
“Kesimpulannya, kenyataan pihak polis bahawa kes tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan mangsa adalah tidak tepat bagi kesalahan yang tidak memerlukan mangsa seperti di bawah Seksyen 377B.
“Jika bukti tidak mencukupi, itu isu siasatan dan bukan isu undang-undang.
“Undang-undang tidak boleh dipinda hanya untuk menampung kelemahan atau kekeliruan dalam memahami prinsip jenayah yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Berita Harian.
Tambah beliau, undang-undang tidak pernah mensyaratkan wujudnya seorang pengadu atau mangsa untuk membentuk kesalahan.
“Jika berlaku perlakuan tersebut, suka sama suka atau sebaliknya, ia sudah pun memenuhi perlakuan utama actus reus (perbuatan salah) kesalahan berkenaan,” katanya.
Justeru, PPMM menggesa pihak berkuasa agama meneruskan pendakwaan mengikut peruntukan lain iaitu undang-undang jenayah syariah sedia ada seperti Seksyen 29 (perbuatan tidak sopan di tempat awam), Seksyen 35 (menganjurkan atau memujuk melakukan maksiat) dan Seksyen 43 (subahat), sekiranya pihak polis tidak meneruskan dengan siasatan.
“Melepaskan suspek dengan ‘nasihat’ selepas satu operasi besar-besaran menghantar isyarat yang lemah, seolah-olah undang-undang jenayah syariah di Malaysia tiada taring untuk menghukum pesalah moral,” katanya.
Dalam pada itu, Berita Harian Malaysia melaporkan, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kelompangan undang-undang serta percanggahan antara peruntukan sivil dengan syariah menjadi penghalang usaha membanteras keruntuhan moral masyarakat, sekali gus membuka ruang pesalah melepaskan diri tanpa tindakan.
Setakat ini, 17 penjawat awam berusia antara 19 dengan 60 tahun yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, pegawai tadbir diplomatik (PTD); doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya serta pegawai agensi penguatkuasaan telah dikenakan pelbagai tindakan termasuk diarah meletak jawatan dan digantung kerja.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pula menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan premis tertutup yang menyalahgunakan lesen diberikan untuk beroperasi sebagai pusat kesihatan dan tempat berleluasanya aktiviti tidak bermoral.
Ketua Pengarahnya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata meskipun siasatan pihak berkuasa tidak membawa kepada sebarang dakwaan undang-undang atas faktor ketiadaan bukti teknikal mencukupi, namun isu berkenaan tetap berpotensi menjadi jalan kepada kerosakan sosial dan memerlukan tindakan pencegahan sewajarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg