KUALA LUMPUR: Seramai 171 lelaki dari sejumlah 201 lelaki yang ditahan dalam serbuan pusat spa yang dijadikan sarang lelaki gay di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 28 November lalu, sudah dibebaskan dengan jaminan polis, selepas permohonan reman ke atas mereka pada 30 November ditolak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu ditolak majistret atas alasan lewat dikemukakan.
“Sebab apa (lewat)...tangkapan ramai. Proses nak dibuat satu per satu untuk dikelaskan, (jadi) permohonan reman lambat dibuat dan majistret tolak.
“Bagaimanapun daripada 202 individu yang ditahan, hanya sejumlah 31 warga asing direman selama dua hari,” katanya ketika ditemui wartawan pada Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur, pada 30 November, lapor Harian Metro.
Datuk Fadil menyifatkan keadaan ini membimbangkan apabila tangkapan 202 orang dalam kategori masalah jenayah sosial dibuat.
“Daripada 171 warga tempatan, 103 orang berbangsa Melayu.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan (KK) kerana persetubuhan luar tabii dan Seksyen 372 KK kerana eksploitasi pelacuran, namun tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah itu,” katanya.
Datuk Fadil berkata agak sukar untuk menuduh mereka daripada sudut undang-undang yang ada sekarang.
“Sebab setiap kali eksploitasi, pelacuran, ataupun luar tabii, mesti ada mangsa, tetapi tiada daripada mereka yang nak mengaku jadi mangsa. So, the case is gone (kes tidak diteruskan),” katanya.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan gay dan hubungan songsang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di Chow Kit.
Daripada 201 orang yang ditahan, 17 daripada mereka adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, mengakui terdapat pengusaha perniagaan dikesan menyalahgunakan lesen pembukaan spa dengan menawarkan aktiviti songsang, sekali gus bercanggah dokumen permohonan lesen asal.
“Biasanya apabila ada permohonan lesen, apa yang kita berikan ialah lesen mengikut apa yang mereka tuliskan dalam dokumen permohonan lesen...Contohnya dia kata lesen untuk pembukaan spa, kita benarkan.
“Tapi apa yang berlaku masalahnya adalah kadang-kadang kita beri lesen, tapi aktiviti yang dilakukan selepas daripada itu adalah di luar kawalan kita.
“Itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam (permohonan) lesen tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen pada 1 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg