Topik diikuti
Pergi ke BHkuAhli majlis tertinggi Umno pertahan cadangan PRN Johor awal demi mandat kukuh
Ahli majlis tertinggi Umno pertahan cadangan PRN Johor awal demi mandat kukuh
Amanah sedia hadapi pertandingan tiga penjuru jika BN pilih bergerak solo
Ahli majlis tertinggi Umno pertahan cadangan PRN Johor awal demi mandat kukuh
JOHOR BAHRU: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, teguh mempertahankan cadangan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diawalkan. Alasannya, kerajaan negeri perlukan mandat yang lebih kukuh demi meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Beliau menjelaskan, penentuan tarikh pilihan raya sememangnya ada unsur taktikal politik, bertujuan memastikan kemenangan dan kestabilan kerajaan.
“Jika kemenangan itu mampu melahirkan kerajaan yang lebih stabil dan kuat, mengapa tidak PRN Johor diawalkan?
“Tambahan pula, ia memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk lebih fokus memajukan negeri dan membela nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan bertaranya 15 April.
Datuk Puad melihat Johor kini beroleh “faktor selesa” (feel good factor) yang ketara, hasil pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Inisiatif BKJ, jelasnya, kini memasuki fasa keempat, dengan penerima terbaru melibatkan suri rumah tidak bekerja, penggali kubur dan warga emas.
Johor, tambahnya, adalah satu-satunya negeri yang memberikan bantuan RM500 ($160) kepada semua penjawat awam Persekutuan yang bertugas di negeri itu, meliputi guru, anggota polis, tentera dan jururawat.
Datuk Puad juga menekankan keengganan kerajaan negeri untuk membiarkan naratif negatif di peringkat Persekutuan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Johor.
“Johor pastinya tidak mahu naratif negatif di pusat terpalit, merosakkan faktor selesa di negeri ini.
“Sebab itu, jika Johor mengadakan PRN lebih awal, ia bukan kerana tidak peduli beban rakyat, tetapi enggan terpalit dengan masalah pihak lain. Biarlah Johor dengan caranya sendiri membela rakyat negerinya,” tegasnya.
Beliau turut mengimbas kembali PRN Johor Mac 2022, yang menurutnya berjaya membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil dan bersatu.
Kestabilan itu, katanya, telah membolehkan Johor mencatat pelaburan sehingga RM110 bilion pada 2025, selain hasil negeri meningkat kepada RM2.6 bilion.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Encik Khalid Samad, berpendapat ada kecenderungan untuk berlaku pertandingan tiga penjuru di Johor dan Melaka jika Barisan Nasional memilih bertanding secara bersendirian.
Menurut beliau, keutamaan Pakatan Harapan (PH) kekal pada pertandingan dua penjuru, namun keputusan akhir bergantung kepada pendirian BN.
“Nampak macam seolah-olah Parti Umno-Barisan Nasional lebih cenderung untuk bertanding bersendirian, khususnya di Johor.
“Kecenderungan kita adalah untuk dua penjuru, tetapi tepuk sebelah tangan tidak berbunyi,” katanya.
Beliau mendedahkan, persiapan sedang diatur bagi menghadapi kemungkinan PRN Johor dan Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
“Kita siap siaga, sedang menggerakkan tentera untuk berdepan pilihan raya Melaka dan Johor dengan formasi tiga penjuru,” ujarnya.
Pada PRN Johor 2022, BN mendominasi dengan 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH (12), Perikatan Nasional (3), dan Muda (1).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebelum ini dilaporkan menyatakan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya April 2027, selaras dengan tamatnya tempoh penggal pentadbiran.
