Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nasib 6 AP, Adun Bersatu sokong Anwar ditentu selepas notis dihantar kepada Speaker

Jun 4, 2024 | 5:47 PM
Dari kiri Ahli Parlimen (AP) Jeli, Encik Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Abdul Rashid Asari (Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Dari kiri Ahli Parlimen (AP) Jeli, Encik Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Abdul Rashid Asari (Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang). - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat mengambil langkah drastik, berani dan berisiko apabila menggugurkan keahlian enam Ahli Parlimen (AP) dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang telah menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedudukan enam AP Bersatu dan seorang Adun itu, sama ada kekal menyandang kerusi masing-masing atau perlu mengosongkan kerusi sekali gus menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan, hanya akan diketahui selepas pimpinan Bersatu menghantar notis kekosongan kerusi kepada Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri, dalam tempoh terdekat.

Ia susulan keahlian enam AP dan Adun terbabit digugurkan dari parti secara automatik, selaras pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April.

Menerusi pindaan itu, keahlian wakil rakyat Bersatu terlucut serta merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Enam Ahli Parlimen itu ialah AP Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Encik Zahari Kechik (Jeli); Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Datuk Abdul Rashid Asari pula adalah satu-satunya Adun dari Selangor iaitu bagi kawasan Selat Klang, yang turut mengikut langkah enam AP terbabit menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata notis kekosongan kerusi itu akan dihantar oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

“Notis kekosongan kerusi akan dihantar kepada Tan Sri Johari berikutan enam AP berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam pada itu pakar perlembagaan dan ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Syaza Shukri, berpandangan langkah Bersatu memecat wakil rakyatnya yang berpaling tadah tidak akan mencetuskan PRK, sebaliknya hanya akan melemahkan kuasa tawar-menawar mereka dengan parti lain dalam blok gabungan parti pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau enam AP dan seorang Adun itu akan kekal sebagai wakil rakyat bebas walaupun dilucutkan keahlian oleh Bersatu, sekali gus hanya parti terbabit kehilangan tujuh wakil rakyatnya.

“Ketiadaan wakil rakyat terbabit tidak banyak mengubah kekuatan politik pembangkang. Tetapi ini akan menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan AP Bersatu berbanding AP Parti Islam SeMalaysia (PAS), seterusnya akan mengurangkan kuasa tawar-menawar Bersatu dalam PN,” katanya lapor Malaysiakini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg