KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dan menyita pelbagai aset berjumlah RM83 juta ($25.4 juta) menerusi Ops Grip dalam siasatan kes penyeludupan tayar yang menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai ratusan juta ringgit.
Antara yang dibekukan ialah akaun bank persendirian dan akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM70 juta.
Aset lain yang disita kerana disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram ialah enam lot tanah yang dijadikan tapak gudang/kontena bernilai RM4.5 juta dan dua unit rumah teres dua tingkat dianggarkan bernilai RM2 juta.
Turut disita ialah satu unit rumah jenis ‘townhouse’ dengan anggaran nilai RM2 juta serta satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM) mengesahkan pengambilan tindakan undang-undang berkenaan.
Beliau berkata siasatan kini turut dijalankan bawah pelbagai perundangan, termasuk Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam perkembangan sama, BHM difahamkan bahawa SPRM turut menyita enam gudang serta kontena membabitkan rampasan dianggarkan 17,672 biji tayar.
Difahamkan, satu pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas tayar pelbagai jenama di enam gudang dan kontena yang disita itu membabitkan dua syarikat.
Pasukan teknikal syarikat tayar terkemuka seperti Toyo Tires, Yokohama, Bridgestone, Michelin, Pirelli, Continental, Dunlop serta Maxxis, turut hadir menjalankan pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sirim Berhad serta SPRM selepas serbuan.
Hasil pemeriksaan itu, pasukan teknikal berkenaan mengenal pasti berlaku pelbagai kesalahan.
Ia termasuk penipuan label, nyah ‘barcode’, pembelian melalui pengedar tidak sah, tayar tidak didaftarkan, dan penyeludupan atau tanpa import sah.
Sumber berkata semua kesalahan berkenaan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang berbahaya kepada pengguna.
“Pemeriksaan itu bertujuan mengenal pasti ketulenan tayar yang dijual dan disimpan dalam pasaran tempatan; mengesahkan pematuhan kepada piawaian keselamatan (DOT, TOT, E-Mark, CCC, Sirim); mengesan penjualan tayar melalui saluran tidak sah atau tidak berdaftar; serta menilai risiko keselamatan tayar kepada pengguna,” kata sumber.
Pada 29 September lalu, SPRM menggempur beberapa syarikat di 23 lokasi seluruh negara yang dipercayai terbabit kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai sekitar RM350 juta sejak 2020 hingga kini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg