Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM: Pegawai disiasat dalam kes ‘tetapan kaunter’ akan diberi notis isytihar harta

Sep 29, 2025 | 10:58 AM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pegawai penguat kuasa yang terbabit sindiket ‘tetapan kaunter’ di pintu masuk Malaysia akan diberi notis bagi tujuan perisytiharan harta susulan rampasan dan sitaan emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata suspek yang ditahan sebelum ini akan diberi notis Seksyen 36 Akta SPRM (ASPRM) 2008 bagi tujuan pengisytiharan harta.

Menurutnya, siasatan dilakukan pihaknya juga akan memberi tumpuan untuk mengesan dan merampas aset yang diperoleh melalui hasil jenayah.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan keterangan ke arah tuduhan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 ASPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Hasil siasatan mendapati selain membuka kedai emas dan membeli emas, ada juga pegawai penguat kuasa dikesan menggunakan akaun proksi bagi pembayaran dan penyimpanan wang rasuah,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan 617 unit emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank disita serta dibekukan membabitkan nilai lebih RM9 juta ($2.76 juta) susulan penahanan pegawai penguat kuasa yang terbabit sindiket ‘tetapan kaunter’ di pintu masuk negara.

Sebanyak 617 unit emas merangkumi jongkong emas dan pelbagai barang kemas termasuk cincin, gelang tangan, rantai leher, rantai kaki, subang dan loket disita.

Jumlah keseluruhan berat emas yang disita dianggarkan mencecah 3.35 kilogram dengan nilai mencecah hampir RM2.26 juta.

SPRM turut menyita 15 kenderaan mewah antaranya Toyota Alphard, Mercedes Benz, BMW dan Audi yang bernilai keseluruhan dianggarkan hampir RM1.82 juta.

Akaun dibekukan membabitkan 126 akaun bank terdiri 82 akaun individu dan 20 akaun syarikat yang bernilai hampir RM4.4 juta, sitaan wang tunai pula hampir RM800,000.

Sebelum ini media melaporkan sikap gelap mata dengan tawaran sindiket ‘tetapan kaunter’ yang mampu mencecah RM50,000 sebulan, menyebabkan segelintir pegawai penguat kuasa sanggup menggadaikan keselamatan negara dengan melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg