SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 September menggempur beberapa syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai sekitar RM350 juta ($107.1 juta) sejak 2020 hingga kini.
Menurut sumber, serbuan itu dijalankan ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport, gudang dan kontena penyimpanan tayar.
“Hasil serbuan, SPRM sudah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang membabitkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta,” katanya pada 29 September, lapor Harian Metro.
Serbuan itu dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Bank Negara Malaysia (BNM); dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor pada 29 September.
Serbuan itu dilakukan susulan pendedahan Berita Harian Malaysia baru-baru ini mengenai pengabaian aspek keselamatan mekanikal kenderaan khususnya membabitkan isu tayar yang menjadi antara punca utama kemalangan ngeri di Malaysia.
Walaupun kejadian ‘tayar terbang’ sering dilaporkan, namun Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Encik Jamil Manan Supri, menyifatkan tindakan pencegahan oleh pihak berkuasa dilihat masih hambar.
Malah beliau turut menyifatkan kejadian ‘tayar terbang’ itu umpama bom jangka kerana ia boleh berlaku tanpa diduga.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan siasatan SPRM turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset lain yang disyaki sudah diperoleh sama ada pegawai kastam atau syarikat pengimport tayar melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan serbuan berkenaan dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg