KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung video yang didedahkan ahli perniagaan, Encik Albert Tei, mengenai dakwaan rasuah membabitkan Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata beliau telah mengarahkan SPRM Sabah untuk bertindak ke atas pendedahan yang disiarkan Malaysiakini pada 24 September.
“Siasatan mengenai isu tersebut sedang dijalankan.
“Saya juga telah mengarahkan agar kedua-dua individu yang terlibat (Encik Tei dan Datuk Jeffrey) dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan yang sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Malaysiakini.
Dakwaan Datuk Jeffrey muncul dalam rakaman video sedang membincangkan isu rasuah dan menerima RM1.78 juta ($540,000) daripada Encik Tei kali pertama timbul pada Jun lalu.
Namun, Malaysiakini difahamkan bahawa SPRM tidak pernah menghubungi Encik Tei mengenai dakwaan tersebut atau meminta rakaman video berkenaan.
Video itu merakamkan satu pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024, yang berkisar tentang pembatalan lesen penerokaan lombong.
Dalam video itu, Encik Tei dipercayai memperincikan pembayaran yang didakwa telah dibuat kepada Datuk Jeffrey yang juga Ahli Parlimen (AP) Keningau (Sabah), bagaimanapun beliau sejak itu menafikan segala tuduhan terhadap dirinya.
Rakaman yang mengaitkan Datuk Jeffrey dan lima individu lain itu pula berasingan daripada siri video lain yang mengaitkan sembilan ahli politik Sabah – termasuk Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; serta Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Shahelmey Yahya.
Encik Tei sebelum ini berkata beliau telah menyerahkan semua bukti berkaitan sembilan ahli politik pertama yang didakwanya kepada SPRM.
Skandal perlombongan Sabah mula terbongkar pada November 2024 apabila Encik Tei mendedahkan video dan mesej WhatsApp yang didakwa menunjukkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.
Pendedahan itu membawa kepada pendakwaan terhadap dua Adun Sabah, iaitu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Adun Tanjung Batu; dan Datuk Yusof Yacob juga Adun Sindumin, di mahkamah pada 30 Jun lalu, atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan berhubung permohonan lesen cari gali mineral di Sabah.
Ahli perniagaan terbabit iaitu, Encik Tei, 37 tahun, pula didakwa pada hari sama atas tuduhan memberi suapan kepada kedua-dua Adun berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg