AYER KEROH (Melaka): Seorang pengurus syarikat swasta direman tiga hari untuk siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM375,000 ($113,767) bagi mendapatkan gelaran Dato’ Sri daripada sebuah negeri pada 2022.
Perintah reman bermula 17 Disember hingga Khamis dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka melengkapkan siasatan kes itu.
Menurut sumber, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan pada 5.10 petang pada 16 Disember di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah itu daripada seorang individu melalui pindahan wang, lapor Berita Harian Malaysia.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pada Mei lalu dilaporkan seorang ahli perniagaan wanita mendakwa kerugian RM375,000 selepas terpedaya dengan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Dato’ Seri.
Mangsa, 45 tahun, mendakwa ditawarkan gelaran kebesaran yang kononnya dari sebuah negeri itu oleh rakan lelakinya pada Jun 2022, namun diminta membuat bayaran terlebih dahulu.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa terpengaruh dengan janji suspek dan melakukan 35 transaksi dalam talian kepada lelaki itu.
“Pada Ogos 2022, mangsa mendapat watikah penganugerahan gelaran itu, tapi semakan dibuat mendapati namanya tiada dalam senarai,” katanya.
Encik Raiz Mukhliz berkata susulan itu mangsa yang berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg