Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal rasuah cabaran parti kerajaan Sabah jelang pilihan raya 2025

Pengamat: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun dijangka dapat pertahan sokongan rakyat
Dec 15, 2024 | 5:30 AM
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) dan Ketua Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, merupakan dua pemimpin berpengaruh di negeri itu.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) dan Ketua Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, merupakan dua pemimpin berpengaruh di negeri itu. - Foto NSTP

Dengan tempoh berbaki kira-kira lapan bulan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2025, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor, digoncang kontroversi skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Ogos 2025 adalah tarikh paling awal dijangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, sebelum tempoh mandat tamat pada Oktober.

Skandal rasuah yang didedahkan media dilihat memberi tamparan bukan saja kepada integriti kerajaan Sabah, bahkan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak Datuk Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan usai Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022 – memerangi rasuah yang disifatkannya sudah berakar umbi – menjadi antara tekad utama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

PRN Sabah juga amat penting kepada Kerajaan Persekutuan kerana ia mampu mempengaruhi kestabilan politik, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan, serta sokongan rakyat terhadap gabungan kerajaan.

Untuk Datuk Hajiji dan gabungannya menepis skandal rasuah dalam kalangan pengundi di kawasan luar bandar mungkin tidak sukar, namun sebaliknya untuk persepsi pengundi di bandar.

Walaupun belum dapat dibuktikan benar atau sebaliknya dakwaan skandal rasuah itu dengan pemberi maklumat masih bermain tarik tali dan hanya berani membuat siri pendedahan di media, – ia tetap mempalitkan ‘najis’ yang mencemar kerajaan pimpinan Datuk Hajiji.

Sehingga artikel ini ditulis, pemberi maklumat masih belum menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan rapi.

Pendedahan pemberi maklumat di media sejak 9 November mendakwa video yang dirakam menggunakan kamera pen itu antara lain memaparkan perbincangan dengan ahli politik tentang dakwaan rasuah yang diberikan sebagai balasan untuk menyokong kelulusan lesen cari gali mineral di Sabah.

Video tersebut juga mendakwa lesen cari gali itu diberikan oleh Datuk Hajiji sebagai ‘hadiah’ kepada mereka yang menyokongnya semasa krisis politik Sabah pada 2023.

Ketika itu kemelut politik tercetus selepas Adun dari Barisan Nasional (BN) Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin, menarik kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Hajiji berikutan rancangannya merombak Kabinet Sabah tanpa perbincangan terlebih dahulu.

Desakan demi desakan terus dilontarkan terutama daripada pihak lawan, supaya Datuk Hajiji segera berundur, meletak jawatan dan mempercepatkan pembubaran DUN, sekali gus mengadakan PRN.

Namun, pemimpin itu begitu yakin skandal rasuah yang didedahkan hanyalah permainan pihak lawan seraya menegaskan pentadbirannya tidak akan tunduk terhadap ‘ancaman politik’ sedemikian.

“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran,” tegas Datuk Hajiji – dengan cuba mempertahankan integriti kerajaan pimpinannya.

Penganalisis politik, Profesor Azmi Hassan, berkata landskap politik Sabah yang berbeza di mana pengundi lebih mementingkan parti dan pemimpin tempatan untuk menerajui negeri, mungkin tidak begitu menjejaskan peluang GRS yang kini bersama PH untuk terus mentadbir selepas pilihan raya nanti.

Tambahnya skandal rasuah itu masih disifatkan satu khabar angin, justeru dilihat belum berjaya menggugat kerajaan pimpinan Datuk Hajiji setakat ini.

“Politik di Sabah ini lebih menjurus kepada aura seorang pemimpin dan Datuk Hajiji itu mempunyai aura yang kuat. Rakyat Sabah tidak gemar campur tangan yang terlalu banyak daripada Kerajaan Persekutuan.

“Dalam hal ini saya tidak menjangkakan isu rasuah ini akan menjadi faktor utama siapa yang akan pengundi pilih atau parti mana yang lebih kuat,” katanya kepada Berita Minggu.

Profesor Azmi juga berpandangan GRS wajar melanjutkan kerjasama sedia ada sekarang iaitu gabungan GRS, PH dan Umno, jika mahu menang besar dalam pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, Umno di Sabah terbahagi dua, dengan kumpulan diketuai Datuk Bung Mokhtar tidak menyokong kepimpinan Datuk Hajiji.

Bagi pengamat politik, Encik Mujibu Muis pula, GRS sebagai parti lokal tetap punya peluang besar untuk memenangi PRN Sabah, tetapi bergantung kepada sejauh mana mereka dapat mengatasi sentimen negatif akibat skandal rasuah.

Strategi kempen yang efektif, penekanan kepada pencapaian mereka dan pengurusan persepsi yang baik adalah kunci untuk mempertahankan sokongan.

Namun katanya, jika pembangkang (Parti Warisan) berjaya memanfaatkan isu rasuah dengan efektif, GRS mungkin menghadapi laluan sukar.

“Pengundi, terutama di kawasan bandar dan semibandar yang lebih kritikal terhadap isu ini, mungkin beralih sokongan kepada parti pembangkang seperti Warisan atau BN dan parti-parti lain.

“Namun, di kawasan luar bandar, di mana isu pembangunan dan ekonomi lebih menjadi tumpuan, kesan skandal rasuah mungkin kurang signifikan,” katanya.

Menurut Encik Mujibu di atas kertas Kerajaan Persekutuan masih utuh biar apapun keputusan PRN nanti.

Ini memandangkan 25 kerusi dari Sabah yang menyokong Kerajaan Perpaduan terbahagi dengan seimbang di antara GRS, BN, PH, Warisan dan bebas.

“Justeru ketika ini ia masih tidak menjadi soal melainkan cakap-cakap tentang siapa yang bersama GRS sebagai tag team untuk PRN Sabah. Mungkin ini lebih penting dilihat selepas keputusan PRN nanti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg