Pempengaruh fesyen Malaysia dan pemilik jenama tudung mewah, Duck, Datin Vivy Yusof, bersama suaminya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Disember, atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan awam dalam FashionValet, bernilai RM8 juta ($2.4 juta) pada 2018.
Pasangan pengasas FashionValet – antara wadah e-dagang terawal di Malaysia itu – didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank syarikat terbabit ke akaun syarikat pengeluar tudung Duck milik mereka, 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan ahli lembaga pengarahnya.
Datin Vivy, 37 tahun, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, 36 tahun, didakwa secara bersama melakukan pecah amanah dana pelaburan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan syarikat pengurusan pelaburan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Kededua syarikat aset penting kerajaan itu membuat pelaburan gabungan berjumlah RM47 juta dalam FashionValet pada 2018.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasangan itu diikat jamin sebanyak RM100,000 setiap seorang, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kontroversi skandal kerugian pelaburan FashionValet bermula selepas Kementerian Kewangan Malaysia mengesahkan Khazanah dan PNB menjual pegangan mereka dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dengan harga RM3.1 juta pada Oktober.
Penjualan itu menyebabkan kerugian pelaburan lebih RM43 juta, berbanding pelaburan gabungan dua syarikat GLC itu sebanyak RM47 juta dalam FashionValet yang ditubuhkan pada 2010.
Kerugian pelaburan itu telah mencetuskan kritikan awam dan gesaan agar siasatan yang lebih mendalam, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Khazanah supaya menjalankan audit dalaman.
Sebelum ini, laporan mendedahkan FashionValet membeli 30 Maple – syarikat yang kini dimiliki sepenuhnya Datin Vivy dan Datuk Fadzarudin, dengan harga RM95 juta.
Pembelian itu dibuat pada tahun yang sama PNB dan Khazanah melabur RM47 juta dalam FashionValet.
Pada 2 November, SPRM dilapor memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan FashionValet, berikutan jumlah kerugian yang direkodkan kededua GLC berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.
Susulan itu, SPRM membekukan 11 akaun bank persendirian dan enam akaun syarikat milik pasangan itu bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
Turut disita pelbagai barangan termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg