SPRM tahan 16 dalang sindiket penipuan China, aset RM3.5j disita
SPRM tahan 16 dalang sindiket penipuan China, aset RM3.5j disita
Operasi sepadu menerusi Op Dragon sasar rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan di beberapa negara termasuk M’sia
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa yang dikendalikan rakyat negara itu.
Operasi bersepadu terbabit yang dijalankan menerusi Op Dragon menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.
Sindiket terbabit dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata melalui beberapa siri operasi yang dijalankan secara bersepadu, SPRM berjaya menahan 16 suspek utama yang juga ‘ringleader (kepala penyamun)’, yang bersembunyi di Malaysia.
“Semua suspek warga China sudah dihantar pulang bagi tujuan proses perbicaraan di negara berkenaan.
“Proses penghantaran pulang dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Jabatan Imigresen Malaysia dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam operasi sama, SPRM turut menyita pelbagai aset yang dipercayai diperoleh hasil aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah sindiket terbabit bernilai RM3.5 juta ($1.13 juta).
Antara barangan yang disita termasuk dua unit kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta ratusan unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan itu.
Nilai keseluruhan aset yang disita dianggarkan bernilai jutaan ringgit dan kini SPRM sedang menjalankan proses pelucuthakan terhadap aset-aset terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sebelum dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.
Susulan kejayaan operasi ini, ia membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan aktiviti penipuan rentas sempadan yang boleh menjejas keselamatan ekonomi serta kepentingan negara.
SPRM menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta aktiviti penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan di peringkat antarabangsa.

