Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM tahan bekas Panglima Tentera Darat M’sia, 2 isteri bantu siasatan kes rasuah tender tentera

Jan 8, 2026 | 2:40 PM
SPRM, kes rasuah, bekas Panglima Tentera Darat M’sia, 2 isteri,
Bekas Panglima Tentera Darat (baju oren depan) dan dua isterinya tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada 8 Januari bagi urusan reman untuk membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia dan dua isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Januari bagi membantu siasatan rasuah melibatkan tender perolehan.

Mereka ditahan sekitar 7 malam pada 7 Januari, setelah memberikan kenyataan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, dan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada 8 Januari untuk prosiding tahanan reman.

Bekas pegawai tertinggi tentera itu direman selama tujuh hari, manakala seorang daripada isterinya direman enam hari dan seorang lagi tiga hari.

Penahanan mereka menyusuli penahanan sepasang lagi suami isteri iaitu pengarah syarikat yang turut dikaitkan dengan kes tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan kelima-lima individu ini bagi membantu siasatan rasuah berkaitan tender Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapor Berita Harian Malaysia.

Semua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada 10 pagi, menaiki dua kenderaan SPRM dan memakai baju tahanan berwarna oren dan bergari.

Sebelum ini, BHM melaporkan, bahawa SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain terlibat dalam rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia.

Petunjuk terbaru itu diperoleh melalui siasatan SPRM terhadap beberapa projek tender perolehan Tentera Darat, yang sedang giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Pada 27 Disember lalu, media Malaysia melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, diarahkan bercuti serta-merta sehingga selesai siasatan kes terhadap beliau selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang melibatkan pegawai berkenaan.

Pelantikan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631, turut ditangguhkan, maklum Datuk Mohamed Khalid.

Susulan perkembangan ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat agar memastikan warga tentera darat berpegang teguh kepada nilai integriti, serta amanah melaksanakan tanggungjawab.

Sultan Ibrahim menegaskan rasuah adalah musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan sama sekali tidak boleh diterima.

Di Malaysia, Agong adalah Pemerintah Tertinggi ATM dan Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa kepimpinan berintegriti bermula daripada peringkat tertinggi, dan PTD hendaklah menjadi contoh dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg