KUALA LUMPUR: Dua wartawan dan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara 10 individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga 20 Ogos, selepas ditahan menerusi Op Sohor.
Dua wartawan agensi media atas talian bersama 10 individu itu disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air, dan dipercayai pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sumber berkata kededua mereka kini telah pun bersara dan bekerja sebagai wartawan.
“Peranan kedua-dua mereka ini masih belum dipastikan memandangkan siasatan SPRM masih berjalan,” katanya, lapor Harian Metro.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata lima pegawai ATM yang ditahan itu adalah anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) dan tempat mereka sudah digantikan serta-merta.
“Kita tiada kompromi dari segi operasi, kami boleh gantikan mereka dan (pegawai pengganti) teruskan tugas yang ditinggalkan. Tiada sebarang isu di lapangan.
“Saya yakin Pengarah MDIO, Leftenan Jeneral Datuk Razali Alias, maklum perkara ini, dan beliau akan melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya pada Majlis Pemasyhuran Hall of Fame Yang Pertama Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di MKN, pada 14 Ogos.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata beliau yakin kebocoran maklumat keselamatan sulit yang dipercayai berpunca daripada lima pegawai kanan ATM yang ditahan itu, berjaya ditangani.
Kelima-lima individu itu termasuk berpangkat Leftenan Kolonel ditahan di sekitar Lembah Klang dalam satu operasi khas SPRM yang dinamakan Op Sohor, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor.
Siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok dan lain-lain dari negara jiran ke Malaysia.
Sumber berkata hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati, sindiket itu dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 ($9,126) hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg