KUALA LUMPUR: Pengasas wadah e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, yang terkait skandal kerugian pelaburan dana awam, akan didakwa dengan satu tuduhan pada 5 Disember, di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pasangan itu ditahan SPRM pada tengah hari 3 Disember, sebelum dibebaskan dengan jaminan.
“Bagaimanapun mereka telah diminta hadir ke Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur untuk tuduhan pada Khamis (5 Disember).
“Pasangan itu akan dituduh di bawah kesalahan pecah amanah (kanun keseksaan),” katanya lapor Astro Awani.
Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hanya memperoleh RM3.1 juta ($0.93 juta) hasil penjualan saham dalam platform FashionValet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Susulan itu kediaman pasangan suami isteri itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur, diserbu dan SPRM menyita beberapa barangan termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
SPRM turut bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan itu yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Ditubuhkan pada 2010 oleh pasangan itu, FashionValet bermula sebagai antara wadah e-dagang pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada fesyen sederhana dan pereka tempatan.
FashionValet menerima suntikan pelaburan dana awam daripada Khazanah dan PNB, disahkan kerugian lima tahun berturut-turut, sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan tersebut melabur.
Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dengan 2017 menunjukkan kerugiannya meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017, berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.
Maklumat kewangan itu diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Susulan siasatan dan kontroversi itu, usahawan fesyen yang terkenal sebagai pemilik jenama tudung mewah itu dan suaminya membuat permohonan maaf atas isu yang terjadi dan melepaskan jawatan dalam FashionValet.
Menurut kenyataan mereka, tindakan itu diambil bagi mengelak isu terbabit terus menjejas syarikat berkenaan yang kini dalam fasa pemulihan.
Datin Vivy dan suaminya menjelaskan akan bertanggungjawab terhadap kegagalan pelaburan dan memohon maaf kerana telah mengecewakan pelabur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg