KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju mengambil kira penurunan berat badan sekurang-kurangnya 5 peratus sebagai salah satu pertimbangan untuk kenaikan pangkat pegawai dan anggotanya yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) tinggi, selagi mereka menunjukkan usaha konsisten menjaga kesihatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), yang menawarkan kepakaran dan kemudahan bagi melaksanakan program kesedaran pengurusan berat badan dan kawalan metabolik.
“Sebagai agensi utama dalam penguatkuasaan dan integriti negara, SPRM menitikberatkan tahap kesihatan fizikal dan mental warga kerjanya,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Ogos.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan & HEPA) UPM, Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, dan Presiden MYOS, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani, di Putrajaya pada 11 Ogos.
Pada 3 Julai lalu, Tan Sri Azam mengumumkan bahawa bermula Januari 2026, pegawai SPRM perlu mengekalkan BMI tidak melebihi 27 sebagai syarat kenaikan pangkat.
Namun, dengan keputusan terbaru ini, penurunan berat badan 5 peratus turut akan diambil kira sebagai pencapaian yang layak dipertimbangkan. Pegawai diberi tempoh enam bulan mulai Januari 2026 untuk mencapai sasaran berat badan ideal.
SPRM turut akan menganjurkan Program Lose Weight Challenge dengan ganjaran lumayan bagi peserta yang berjaya menurunkan berat badan mengikut kriteria ditetapkan sebagai dorongan kepada warga kerja untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Pada 24 Julai lalu, SPRM melaksanakan Program Kesedaran Pengurusan Berat Badan dan Kawalan Metabolik yang merangkumi saringan kesihatan asas, penilaian komposisi badan dan risiko metabolik.
Hasil dapatan program itu dibentangkan Profesor Dr Barakatun Nisak dan Profesor Dr Rohana, yang menyatakan kesediaan bekerjasama melaksanakan program pengurusan berat badan secara berterusan.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg