Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Ismail Sabri: SPRM mohon lucut hak wang tunai RM170j, 16kg jongkong emas

Jul 4, 2025 | 12:03 PM
Ismail Sabri, SPRM, dakwaan rasuah, politik M’sia
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (dua dari kiri), menunjukkan aset berupa wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Mac lalu. - Foto fail MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk melucutkan semua aset, termasuk wang tunai RM170 juta ($51.2 juta) dan 16 kilogram (kg) jongkong emas yang ditemui dalam safehouse yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata SPRM akan memohon melucutkan hak ke atas kesemua aset itu dalam masa terdekat.

“Kes ini telah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat sebarang tuduhan jenayah yang membabitkan Datuk Ismail Sabri.

“Setakat ini, TPR telah bersetuju supaya proses untuk melucut hak aset yang dirampas difailkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi selepas afidavit dikemukakan,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 3 Jun, lapor Malaysiakini.

Tan Sri Azam berkata sekiranya Datuk Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen (AP) Bera, memilih untuk mencabar permohonan berkenaan di mahkamah, proses perbicaraan akan dijalankan.

“Hak wang ini sekiranya berjaya dilucutkan, ia akan menjadi hasil kepada kerajaan. Itu yang diputuskan.

“TPR setakat ini belum memutuskan ada tuduhan atau tidak, (tetapi) kita sudah siapkan kerja dan terpulang kepada mereka untuk menilainya,” katanya.

Menurut Tan Sri Azam, aset yang akan dilucut hak itu adalah seperti yang telah ditunjukkan kepada umum semasa sidang media pada Mac.

Pada sidang media itu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, serta 16kg jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah safehouse yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri.

SPRM berkata wang tunai dirampas itu membabitkan nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Franc Swiss dan Yuan.

Datuk Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana untuk publisiti program ‘Keluarga Malaysia’ ketika tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg