Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syed Saddiq bebas tuduhan kes ubah wang haram

Mahkamah sebulat suara ketepi hukuman penjara 7 tahun, dua sebatan, denda RM10j
Jun 25, 2025 | 3:17 PM
Malaysia, Syed Saddiq, bebas tuduhan, ubah wang haram
Ahli Parlimen Muar (Johor), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (empat dari kanan), bersama ibu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz (lima dari kanan); bapa, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff (tiga dari kanan) serta penyanyi dan pelakon, Bella Astilah (dua dari kanan), selepas keputusan di Mahkamah Rayuan pada 25 Jun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Mahkamah Rayuan Malaysia pada 25 Jun melepas dan membebaskan Ahli Parlimen (AP) Muar (Johor), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna harta membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebanyak RM1 juta ($301,000).

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas semua kesalahan berkaitan penyelewengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin Badaruddin, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan bersubahat dan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.

“Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang.

“Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen perlakuan fizikal jenayah.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong tuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (salah guna harta).

“Kami juga berpendapat tuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua tuduhan,” katanya.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta terhadap mantan Menteri Belia dan Sukan itu selepas didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga mantan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), menzahirkan kesyukuran terhadap keputusan mahkamah yang telah membersihkan nama dan mengembalikan kewibawaannya sebagai pemimpin politik.

“Keputusan hari ini mengingatkan mengapa saya memilih jalan untuk mengabdikan diri kepada Malaysia.

“Saya sangat gembira kerana selepas lima tahun diuji dengan pelbagai tawaran, sogokan dan ugutan, mahkamah ini membersihkan nama dan mengembalikan integriti saya tanpa kes digugurkan atau permohonan untuk kes ditangguhkan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Syed Saddiq, 33 tahun, turut menegaskan beliau tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana musuh politiknya.

“Saya perlu ucapkan terima kasih kepada barisan peguam, keluarga dan semua penyokong. Ini bukan setakat memenangi kes di mahkamah tetapi daripada awal berada di pihak yang benar,” katanya.

Syed Saddiq yang hadir bersama ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff, dilihat menangis dan melakukan sujud syukur di pekarangan mahkamah, sejurus keputusan itu.

Dalam nada sebak Sharifah Mahani berkata tempoh lima tahun yang dilalui penuh cabaran dan beliau menzahirkan kemaafan kepada pihak yang menganiaya anaknya.

Penyanyi dan pelakon, Bella Astilah, yang hadir sama turut menangis dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada gandingan rapatnya itu.

“Alhamdulillah. Bella sangat bersyukur dan gembira untuk Syed Saddiq dan keluarganya. Keputusan hari ini buat semua orang gembira, seluruh Malaysia mendoakan yang terbaik untuknya,” kata Bella.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada tuduhan kes yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada 25 Jun.

“Saya dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengenai keputusan hari ini dan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg