Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, M’sia uji tindak balas dalam tangani kecemasan RTS Link
S’pura, M’sia uji tindak balas dalam tangani kecemasan RTS Link
Singapura dan Malaysia menguji kesiapsiagaan menangani kecemasan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru–Singapura menerusi simulasi kebakaran dalam tren yang terkandas, bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan dengan pantas merentasi sempadan.
Latihan lapangan bersama pada 27 Oktober itu melibatkan operasi memadam kebakaran, penilaian keutamaan rawatan dan pemindahan mangsa, selain menguji komunikasi serta pengerahan anggota kedua-dua negara.
Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, berkata keselamatan penumpang merupakan tanggungjawab bersama, memandangkan perkhidmatan itu merentasi dua negara dengan undang-undang, agensi dan struktur pemerintahan berbeza.
“Penumpang yang menaiki RTS Link akan menjangkakan perjalanan mereka selamat, terjamin dan berdaya tahan.
“Jika sesuatu berlaku, bantuan akan tiba dengan cepat, tanpa mengira di sebelah mana sempadan mereka berada.
“Memenuhi jangkaan ini merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul bersama oleh kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berucap semasa majlis penutup latihan di Depoh RTS Wadi Hana, Johor Bahru, pada 28 Oktober, yang disempurnakan bersama Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Cik Sim, setiap tren mampu membawa lebih 600 penumpang, dengan perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru mengambil masa hanya lima minit.
Sistem itu mempunyai kapasiti maksimum 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Oleh itu, sebarang gangguan boleh menjejas ramai penumpang dalam masa singkat dan memerlukan perkongsian maklumat serta penyelarasan segera.
Beliau berkata latihan tersebut menunjukkan keberkesanan dalam tiga aspek utama, iaitu komunikasi, pengerahan anggota serta pemerintahan dan kawalan.
Pusat Operasi Malaysia di Bukit Chagar dan Pusat Operasi Bersepadu Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan sentiasa berhubung untuk berkongsi perkembangan insiden serta rancangan tindakan.
Pegawai serta pengendali stesen turut menyelaraskan pengerahan anggota bomba, penyelamat, penguat kuasa undang-undang dan kawalan sempadan.
Agensi kedua-dua negara telah membangunkan rangka kerja, undang-undang dan protokol berkaitan sejak 2023.
Latihan perbincangan berasaskan senario turut diadakan pada September sebelum rancangan tersebut diuji di lapangan.
Cik Sim menggesa agensi terlibat meneliti dapatan latihan secara terbuka untuk membaiki tindak balas bersama sebelum kecemasan sebenar berlaku.
Sementara itu, Datuk Saifuddin berkata latihan tersebut menguji masa tindak balas, kejelasan rantaian pemerintahan, ketepatan aliran maklumat serta keupayaan agensi menjalankan operasi bersama.
“Dalam soal keselamatan, niat baik sahaja tidak mencukupi. Rancangan mesti diuji.
“Kesiapsiagaan sesebuah negara tidak diukur ketika keadaan tenang.
“Ia diukur melalui cara mengurus ketidakpastian dan krisis,” katanya.
Beliau berkata serangan fizikal, pencerobohan siber, kegagalan teknikal dan krisis maklumat boleh berlaku serentak, sekali gus memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi keselamatan, pengangkutan, kesihatan, pengendali aset serta sektor swasta.
Dalam kenyataan bersama, Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MFA) memaklumkan bahawa kedua-dua negara telah menguatkuasakan perundangan domestik yang diperlukan bagi operasi RTS Link, termasuk pengurusan insiden rentas sempadan.
Latihan itu melibatkan ICA, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), bersama agensi polis, kawalan sempadan, bomba, kesihatan dan tentera Malaysia.
Kedua-dua negara akan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi melindungi penumpang, prasarana dan operasi RTS Link menjelang permulaan perkhidmatan itu.