KUALA LUMPUR: Sebanyak 94 peratus daripada lebih 61,000 rakyat Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan mereka memilih Singapura sebagai destinasi.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias, golongan wanita mendominasi permohonan pelepasan kewarganegaraan, didorong oleh peluang ekonomi dan faktor keluarga.
Seramai 35,356 wanita telah memilih untuk berpindah dan mengambil kerakyatan negara lain antara 2019 hingga 17 Disember 2025.
Secara purata sekitar 10,000 rakyat Malaysia memohon untuk melepaskan kerakyatan setiap setahun.
“Kebanyakan pemohon mahu melepas kerakyatan Malaysia untuk ke Singapura iaitu 93.78 peratus; manakala ke Australia pula 2.15 peratus, 0.97 peratus (Brunei) dan lain-lain negara 3.1 peratus,” katanya, lapor Harian Metro.
Faktor utama pelepasan kerakyatan adalah ekonomi, terutamanya bagi mereka yang bekerja di Singapura, di mana pekerjaan dan pendapatan memudahkan perolehan kerakyatan.
Faktor keluarga juga penting, terutamanya perkahwinan dengan warga asing seperti warga Kanada, yang mendorong penghijrahan mengikut pasangan dan pertukaran kerakyatan, tambah beliau.
“Contohnya berkahwin dengan orang Kanada, jadi mereka berhijrah ke sana mengikut pasangan dan memilih untuk menjadi warganegara di sana,” katanya.
Dalam kes berasingan, terdapat juga kes pelucutan kewarganegaraan, meskipun jumlahnya lebih kecil. Ini berlaku apabila seorang warganegara Malaysia memperoleh dan menggunakan keistimewaan negara asing, seperti mengundi, kerana Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf dwi-kerakyatan.
“Kumpulan terbesar yang memohon melepaskan kewarganegaraan mereka adalah dalam kalangan usia 31 hingga 40 tahun iaitu 19,287 (31.6 peratus), diikuti berusia 21 hingga 30 tahun seramai 18,827 (30.8 peratus), 41 hingga 50 tahun seramai 14,126 (23.1 peratus) dan lebih 50 tahun seramai 8,876 (14.5 peratus),” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg