PORT DICKSON: Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di Port Dickson, Negeri Sembilan, meletup dan terbakar serta mengejutkan penduduk sekitar.
Komander Operasi Kanan, Encik Mohd Kamal Mohd Timar, bagaimanapun berkata tiada mangsa yang dilaporkan terperangkap atau tercedera dalam kejadian itu.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat awal daripada pemanggil yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson memaklumkan berlaku letupan pada 9 malam 13 Februari.
“Jentera sampai di tempat kejadian dua minit kemudian dan operasi dijalankan bagi memadam api yang agak besar,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Encik Mohd Kamal berkata operasi disertai anggota BBP Port Dickson dan Pasukan Pihak Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Seremban 2 diketuai Komander Operasi Sabarudin Ahmad.
“Tindakan pasukan di lokasi ialah mencari punca letupan dan kita akan maklumkan keadaan dari semasa ke semasa kerana operasi sedang berjalan,” katanya.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pasukan teknikal dikerahkan ke lokasi bagi menilai situasi serta mengambil langkah diperlukan untuk memastikan keselamatan semua pihak.
“Pada masa ini, bekalan elektrik kepada pengguna tidak terjejas dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TNB akan terus memantau perkembangan situasi dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” katanya.
Dalam perkembangan pagi 14 Februari, TNB memaklumkan kebakaran di stesen janakuasa berkenaan sudah berjaya dikawal sepenuhnya.
“Kami telah mengambil semua langkah keselamatan dan pasukan teknikal kami sedang menjalankan pemeriksaan dan kerja-kerja pemulihan yang diperlukan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg