Stesen minyak Johor alami gangguan bekalan diesel
Kelewatan kapal bawa bahan api tiba di Terminal Pasir Gudang dikatakan punca masalah
JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan diesel yang dilaporkan berlaku di beberapa stesen minyak di Johor disyaki berpunca daripada kelewatan kapal membawa bahan api itu tiba di Terminal Pasir Gudang.
Difahamkan, stok simpanan minyak diesel membabitkan sebuah syarikat pembekal bahan api itu berdepan gangguan sementara, bermula 17 Mac sehingga lewat petang 19 Mac.
Keadaan itu menjejas jadual pemindahan produk diesel berkenaan daripada kapal terminal.
Bagaimanapun, stok simpanan diesel di terminal berkenaan dijangka kembali pulih pada petang 19 Mac, manakala di stesen minyak pula ia kembali seperti biasa secara berperingkat-peringkat sehingga 21 Mac.
Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor, Cik Chai Pei Yoon, berkata semakan dengan syarikat petroleum berkaitan mendapati banyak kapal kargo dan kapal tangki tiba serentak di pelabuhan tempatan selepas mengalami kelewatan, menyebabkan kapal tangki syarikat tersebut terpaksa beratur panjang untuk berlabuh dan memunggah muatan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan bekalan diesel tidak dapat diagihkan ke stesen minyak mengikut jadual.
“Kebanyakan pengusaha lori memilih satu syarikat petroleum tertentu kerana rangkaian stesen minyaknya yang luas, sekali gus menyebabkan mereka terkesan apabila bekalan diesel di stesen syarikat itu terganggu.
“Ada pemandu lori yang terpaksa mengisi diesel di stesen minyak jenama lain tanpa subsidi selepas mendapat kebenaran majikan, walaupun harganya lebih tinggi,” katanya, sebagaimana lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 19 Mac.
Menurutnya, gangguan hanya melibatkan kes terpencil dan syarikat petroleum terbabit sudah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sebaik kejadian berlaku.
Sementara itu, Pengarah KPDN Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, dilaporkan berkata gangguan bekalan diesel hanya bersifat sementara susulan kelewatan ketibaan kapal penghantaran sebelum ini.
“Pihak KPDN Johor telah menghubungi stesen minyak yang terkesan dan dimaklumkan bekalan diesel sedang dalam proses pengagihan dan dijangka akan pulih secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Bekalan bahan api kini sedang dalam proses pengagihan ke semua stesen minyak terlibat dan dijangka kembali pulih sepenuhnya seperti biasa dalam masa terdekat.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan. Kapal sudah sampai dan proses pengagihan sedang berjalan. Bekalan akan kembali seperti sedia kala,” katanya.

