Lonjakan harga minyak: Penumpang siap sedia tambang khidmat kereta sewa naik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lonjakan harga minyak: Penumpang siap sedia tambang khidmat kereta sewa naik

Pemandu khidmat e-panggilan turut rasa kesan perit kurang pendapatan pada musim perayaan
Mar 19, 2026 | 6:57 PM

Lonjakan harga minyak: Penumpang siap sedia tambang khidmat kereta sewa naik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
harga minyak, khidmat e-hailing, tambang kereta sewa, harga minyak Singapura 2026, tambang Grab Raya, kos petrol Singapura, ComfortDelGro naik tambang, e-hailing Singapore 2026
Menyusuli peperangan Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang sedang berlaku kini, pengendali stesen minyak di Singapura memberi tindak balas dengan menaikkan harga minyak sejak 3 Mac. - Foto fail

Walaupun syarikat perkhidmatan e-panggilan atau ‘e-hailing’ (menempah kenderaan secara dalam talian) dan kereta sewa utama belum menaikkan harga susulan lonjakan harga minyak, para penumpang bersedia untuk menghadapi kos pengangkutan yang lebih tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Malah, ada yang telah memperuntukkan 20 peratus daripada bajet mereka khusus untuk perbelanjaan pengangkutan.

Beberapa individu memberitahu Berita Harian (BH) mereka merancang mengimbangi penggunaan e-panggilan dan pengangkutan awam bagi memastikan kos tidak menjadi terlalu membebankan.

Ia merupakan langkah tambahan selain menjimatkan perbelanjaan perayaan mereka bagi mengelakkan pembaziran dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini.

Encik Mohamad Shariff Alisa, 47 tahun, seorang pembantu jurutera, mengetepikan sekitar 20 peratus daripada wang simpanannya untuk dikeluarkan bagi kos pengangkutan Raya.

Sebagai bapa tiga orang anak, beliau dan isteri terpaksa menempah kenderaan enam tempat duduk secara dalam talian, yang pastinya dengan harga tambang lebih tinggi.

“Sebelum ini, perbezaan kereta empat tempat duduk dan enam boleh mencecah sehingga $10, apa lagi dalam tempoh sekarang,” ujarnya.

Beliau percaya kenaikan harga minyak boleh memberi kesan ketara kepada ekonomi dan perbelanjaannya sekeluarga termasuk pengangkutan ketika Hari Raya.

“Tambang untuk pergi ke kerja dan sekolah meningkat, ini bermakna Grab, Tribe dan khidmat kereta sewa lain turut naik.

“Ini menjejas perbelanjaan harian saya,” katanya, yang turut mengambil langkah mengutamakan keperluan seperti menggunakan semula baju Raya bagi keluarga.

Turut dibelenggu kerisauan adalah suri rumah, Cik Nur Fasehah Ahmad, 44 tahun, yang sudah menambah sekitar $150 untuk perbelanjaan pengangkutan kali ini.

Bagi menangani kerisauan itu, beliau sekeluarga – yang merangkumi suami dan tiga anaknya – akan mengatur rancangan alternatif.

Antaranya, merancang perjalanan mereka sehari sebelum kunjung-mengunjung agar dapat memilih pengangkutan yang ingin dinaiki lebih awal daripada kebiasaan.

“Satu hari sebelum, kami akan hadkan pada beberapa rumah saja yang mahu dikunjungi.

“Kami juga akan sewa Tribe atau GetGo, tetapi kalau destinasi berdekatan, kami jalan kaki saja,” kata beliau.

Kedua-dua individu itu menambah mereka akan menaiki pengangkutan awam untuk mengurangkan kos.

Hanya tiga hari diperlukan untuk kesan peperangan dengan Iran, yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, untuk menjejas harga di stesen minyak Singapura.

Pengendali stesen minyak bertindak balas pada 3 Mac dengan menaikkan harga minyak.

Sebahagian besarnya ditapis daripada minyak mentah dari rantau yang kaya dengan minyak dan gas itu.

Harga petrol dan diesel di Singapura melonjak mendadak dalam tempoh seminggu sehingga melepasi paras tertinggi sewaktu krisis Ukraine 2022, dengan kadar jauh lebih pantas.

Walau terdapat kerisauan mengenai harga tambang dalam kalangan pengguna, pemandu kereta sewa privet mendapati tiada sebarang kenaikan setakat ini.

Bahkan, mereka berkata pemandu lebih rasakan keperitannya kerana perlu mengeluarkan kos tambahan untuk petrol.

Syed Syaifulbahri Jamalludin, 38 tahun, berkongsi, kenaikan kali ini lebih perit baginya yang sudah menjadi pemandu platform selama 14 tahun.

“Ketika perang Ukraine sebelum ini (2022), keadaannya masih okey – kenaikan harga tidaklah begitu mendadak atau dirasai sangat.

“Tetapi baru-baru ini, apabila harga petrol naik sehingga mencecah hampir $4, ia memang satu lonjakan yang sangat tinggi,” ujarnya.

Encik Syaifulbahri berkata ketika 2022, harga petrol tanpa diskaun biasanya berharga $2.70, namun kini, mereka mengharapkan diskaun agar dapat mencapai harga itu.

Beliau menambah petrol biasanya berharga sekitar $3.40 seliter dan bersyukur terdapat stesen minyak yang memberi diskaun seperti Sinopec dan Cnergy kerana dapat meringankan beban.

Membuat perbandingan tersebut, Encik Syaifulbahri berkata:

“Di Sinopec, harga minyak kini mencecah $3.47 seliter.

“Bagi tangki penuh berkapasiti 45 liter, kosnya sekitar $156.15, namun setelah ditolak diskaun 29 peratus dan rebat $3 bagi setiap perbelanjaan $60, saya hanya perlu membayar $104.

“Sebelum ini, tangki penuh hanya menelan kos sekitar $70 hingga $80 selepas diskaun, dan kalau nak dibandingkan sekarang, ini merupakan lonjakan besar – hampir 20 peratus lebih tinggi.”

Menjelang musim perayaan nanti, beliau menjangkakan harga tambang tidak akan meningkat dengan ketara.

Ini kerana menurutnya, harga tambang lazimnya meningkat pada musim perayaan, namun perkara tersebut tiada kaitan dengan harga petrol.

Tetapi, beliau tidak pasti sama ada syarikat e-panggilan akan mengenakannya pada masa depan.

“Tambang tetap sama kerana secara semula jadi, model perniagaan platform ini berasaskan permintaan dan bekalan.

“Jadi, ia bergantung kepada berapa banyak kereta yang ada di kawasan itu dan berapa ramai orang yang sedang mencari kereta,” ujarnya.

Pengendali itu berkata pada 17 Mac ia akan menaikkan tambang meternya buat sementara waktu dan memperkenalkan yuran bagi tempahan aplikasi bagi membantu pemandu menguruskan kos operasi yang lebih tinggi.

Syarikat itu memaklumkan caj yang lebih tinggi akan berkuat kuasa mulai 24 Mac hingga 31 Mei.

Platform perkongsian kereta, GetGo, juga telah menaikkan kadar jarak atau mileage rates bagi kenderaan petrol pada 18 Mac, pada 11:59 malam.

Dalam e-mel yang dihantar kepada pengguna, syarikat itu menyatakan kadar yang lebih tinggi itu akan dikenakan ke atas kenderaan kategori standard dan mewah, termasuk tempahan sedia ada.

Tambah syarikat itu lagi, pelanggan yang menyewa kenderaan bukan mewah selama empat jam dengan jarak perjalanan biasa sejauh 42 kilometer, akan membayar lebih $2 bagi jumlah keseluruhan yuran tidak lama lagi.

Seorang lagi pemandu platform, Encik Mohd Zaini Sukri, 60 tahun, pula menjangkakan kemerosotan pada jumlah pengguna bagi musim perayaan ini.

Beliau, yang perlu mengetepikan sehingga 20 peratus atau $20 untuk mengisi petrol penuh sejak konflik bermula, berkata pengguna akan lebih gemar menaiki pengangkutan awam agar dapat berjimat.

“Sejak harga minyak meningkat, saya sudah rasa gelisah, tertanya-tanya sama ada saya mampu menghadapinya atau tidak.

“Ini ditambah dengan tekanan untuk bekerja lebih lama dan mencari lebih ramai pelanggan,” katanya.

Pakar ekonomi dan pekerja dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berpendapat harga petrol dianggar kekal tinggi buat sementara waktu.

Bercakap kepada BH, beliau menambah disebabkan itu, lazimnya syarikat platform akan cuba memindahkan perubahan kos tersebut kepada penumpang dalam bentuk tambang lebih tinggi.

“Ini diperlukan kerana jika mereka tidak berbuat demikian, para pemandu sebenarnya tidak akan mahu berada di jalan raya.

“Ini kerana pendapatan pemandu akan mula merosot, malah, pendapatan mereka memang sudah pun merosot sekarang,” katanya.

Maka, beliau menjangkakan syarikat platform sedang mempertimbangkan sama ada mereka perlu memindahkan sebahagian daripada perubahan harga tersebut dalam bentuk tambang lebih tinggi.

Namun, bagi harga pengangkutan awam, Profesor Theseira berkata ia dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sembilan bulan lagi.

Ini disebabkan tambang dikawal selia oleh formula tahunan dan sebarang kenaikan kos akan diserap oleh operator sehingga semakan rasmi dibuat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg