Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Struktur haram di tapak masjid dekat Sepang diroboh

May 9, 2025 | 11:43 AM
Malaysia, masjid, mosque, Dengkil, roboh, demolish
Struktur haram di tanah yang diwartakan sebagai tapak masjid Dengkil di sini, dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDT) Sepang dalam operasi bersepadu pada 8 Mei. - Foto FACEBOOK PEJABAT DAERAH TANAH SEPANG

SEPANG: Struktur haram di tanah yang diwartakan sebagai tapak masjid Dengkil di sini, dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDT) Sepang dalam operasi bersepadu pada 8 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

PDT Sepang dalam kenyataan di Facebook berkata operasi membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Pegawai Daerah Sepang, Encik Khairi Azali Ibrahim, berkata tindakan meroboh struktur haram dilaksanakan tanpa perkara tidak diingini.

Media 10 April lalu melaporkan, penduduk menggesa Jais mengambil tindakan dengan membina pagar di kawasan tanah yang sudah diwartakan sebagai tapak pembinaan masjid itu bagi mengelak ia diceroboh.

Pada 2012, tanah seluas empat hektar itu diwartakan sebagai tapak masjid baru bagi menggantikan masjid lama namun sehingga kini, pembinaannya masih belum berjalan.

Difahamkan, peruntukan bagi pembinaan masjid itu sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pada April lalu, Jais telah mengeluarkan surat arahan menetapkan tempoh 30 hari kepada pihak yang terbabit untuk mengosongkan kawasan tersebut.

Menurut Pengarah Jais, Encik Mohd Shahzihan Ahmad, tindakan tegas akan diambil sekiranya kawasan itu tidak dikosongkan dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Kampung Dengkil, Encik Al Rasyid Ab Rani, berkata pihaknya berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam operasi merobohkan struktur haram berkenaan.

“Kami harap projek pembinaan masjid ini akan jadi kenyataan segera,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg