Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita maut di lebuh raya Shah Alam dipercayai terjun dari van selepas bertengkar dengan suami

May 9, 2025 | 11:14 AM
Malaysia, polis, police, wanita, van, terjun, KESAS, Shah Alam
Siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan van, sebelum wanita itu dipercayai terjun daripada kenderaan terbabit di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada petang 6 Mei.  - Foto PEMBACA BHM

KUALA LUMPUR: Wanita yang maut selepas dikatakan tercampak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada petang 6 Mei, dikatakan bertengkar dengan suami dalam kenderaan sebelum dipercayai terjun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata ia hasil siasatan awal dilakukan pihaknya selepas suami wanita terbabit ditahan susulan kejadian berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar itu, lapor Berita Harian Malaysia.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah berlakunya pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan van, kerana wanita itu tiada lesen memandu dan pernah terbabit kemalangan sebelum ini.

“Mangsa kemudian dipercayai terjun daripada kenderaan dinaiki bersama suaminya itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada 8 Mei.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Cheras, Penolong Pesuruhjaya Aidil Bolhassan, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 2.58 petang berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Datuk Rusdi berkata meskipun mangsa terjun keluar dari van, suspek tanpa memberhentikan kenderaan terbabit terus memandu pulang ke rumah.

“Kita (polis) kemudian berjaya mengesan keberadaan suami mangsa dan menahannya, sebelum memaklumkan mengenai kematian isterinya.

“Suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian isterinya itu,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan tangkapan suspek, 50 tahun, yang bekerja sebagai penghantar barang alat hawa dingin dan turut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod dadah.

Pasangan itu berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.

Saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian secara tidak sengaja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg