KANGAR (Perlis): Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada 24 Jun atas pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak mereka berusia 11 tahun di kediaman mereka di Arau, Perlis, 18 Jun lalu.
Tertuduh, Wong Weng Lun dan isterinya, Wong Saw Yuen, masing-masing berusia 37 tahun, meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di bawah jagaan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Menurut laporan Berita Harian Malaysia, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan sekitar 12.15 tengah hari pada 18 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam, S Devandran.
DPP Nabilah dalam permohonannya meminta mahkamah untuk menetapkan RM30,000 ($9,000) bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
Namun, permohonan itu dibantah oleh Devandran yang memohon mahkamah supaya dapat menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang anak guamnya memandangkan Weng Lun bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Selain itu, anak guamnya yang kedua, Saw Yuen, pula hanya seorang suri rumah sepenuh masa dan mempunyai dua lagi anak berusia 12 tahun dan setahun yang dijaga oleh nenek mangsa.
Devandran juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu tidak berisiko melarikan diri dari negara ini sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
DPP Nabilah kemudian dalam hujahan balas tetap dengan pendiriannya yang mahukan jumlah wang jaminan yang dipohonnya terhadap tertuduh dikekalkan.
Selain itu, DPP Nabilah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mangsa kini ditempatkan dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis di Rumah Kanak-Kanak Arau.
Hakim Sharifah Norazlita kemudian menetapkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Selain itu, tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan 17 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Selepas prosiding itu, hanya Saw Yuen sahaja yang membayar wang jaminan.
Pada 17 Jun lalu, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak perempuan di Arau.
Dalam kes berkenaan, mangsa berusia 11 tahun adalah anak kandung kepada suspek berkenaan yang disyaki mengalami penderaan fizikal pada beberapa bahagian badan mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg