Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri pemilik rumah kebajikan di Selangor ditahan, didakwa dera penghuni

Apr 11, 2025 | 2:57 PM
Sebuah kumpulan sukarelawan membuat pendedahan mengejut menerusi rakaman video mengenai keadaan kanak-kanak penghuni rumah kebajikan persendirian dimiliki pasangan suami isteri di Cheras, Selangor, yang didakwa didera dan dianiaya.
Sebuah kumpulan sukarelawan membuat pendedahan mengejut menerusi rakaman video mengenai keadaan kanak-kanak penghuni rumah kebajikan persendirian dimiliki pasangan suami isteri di Cheras, Selangor, yang didakwa didera dan dianiaya. - Foto INSTAGRAM MALAYSIA FIGHT LEAGUE

KAJANG (Selangor): Pasangan suami isteri yang merupakan pemilik dan penjaga sebuah rumah kebajikan persendirian di Batu 9, Cheras, Selangor, ditahan polis pada 10 April, selepas disyaki terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Naazron Abdul Yusof, berkata penahanan ke atas dua individu berusia 66 dan 68 tahun itu dibuat pada 3.20 petang.

Menurut Encik Naazron, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menghuni rumah kebajikan itu mendakwa telah didera dengan cara dimarahi dan ditampar di pipi kiri oleh penjaga, atas alasan tidak mahu mendengar kata.

“Kita juga menerima dua laporan yang dibuat oleh saksi lain yang mendakwa pasangan itu mendera emosi dan mental kanak-kanak yang menghuni rumah terbabit.

“Pasangan suami isteri itu akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, lapor Kosmo!.

Tambah Encik Naazron, kesemua 18 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun yang tinggal di rumah kebajikan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan satu pendedahan mengejutkan yang tular, mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, susulan video tular memaparkan keadaan penghuni yang didakwa dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.

Rumah kebajikan itu turut didakwa mengenakan kawalan ketat tanpa kewajaran jelas, termasuk membiarkan penghuni terkurung dalam ruang sempit.

Individu di dalam video yang mendedahkan keadaan di rumah kebajikan itu mendakwa pada awalnya mereka yang datang untuk menyampaikan bantuan kepada penghuni di situ tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anak yang tinggal di sana.

“Sampai saja di sana (rumah kebajikan) hanya separuh daripada anak-anak yang turun untuk menyambut kami. Lebih pelik kami diberitahu tidak dibenarkan memberi hadiah atau makanan kepada mereka. Tapi pada asasnya dia (pemilik) nak kami tinggalkan barang dan balik.

“Kami tak puas hati dan minta untuk duduk sekejap dan cakap dengan anak-anak di sana. Mereka (anak-anak) beritahu kami ramai lagi kawan-kawan mereka ‘terkunci’ dalam bilik. Bila kami naik atas, betul ada yang dikunci macam haiwan,” dakwanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Encik Azmir Kassim mengesahkan rumah kebajikan itu merupakan pusat pertubuhan bukan kerajaan berkediaman dan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg