Pada usia 19 tahun, Cik Natasha Mohammad Zain memainkan peranan aktif membantu masyarakat dalam inisiatif Blossom Home Refresh.
Bekas pelajar Maktab Rendah Tampines Meridian itu merupakan antara 300 sukarelawan belia yang menyertai Blossom Home Refresh, sebuah inisiatif anjuran Blossom World Society (BWS) yang bertujuan membersihkan 90 rumah di Marsiling.
Acara yang berlangsung pada 24 Mei itu bermatlamat membersihkan 600 rumah warga emas dan keluarga kurang bernasib baik di Singapura, sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).
Cik Natasha mula terlibat dengan BWS setelah mencari peluang kerja sukarela berkaitan alam sekitar di dalam talian.
“Acara pertama yang saya sertai adalah pembersihan pantai.
“Namun selepas melayari laman web BWS, saya tertarik dengan inisiatif Blossom Home Refresh walaupun tidak pernah melakukan kerja sukarela untuk pembersihan atau pengubahsuaian rumah sebelum ini,” katanya.
Cik Natasha yang terlibat dengan usaha Blossom Home Refresh sejak 2022 berkata:
“Apabila saya melawat rumah seorang penerima bantuan, saya sedar akan realiti kehidupan masyarakat yang berbeza-beza.
“Ia membuka mata saya dan membuat saya lebih menghargai apa yang saya ada.”
Beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang sosiologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan berharap dapat bekerja dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) suatu hari nanti.
Beliau percaya bahawa penglibatan belia dalam kerja sukarela amat penting untuk memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Belia adalah pemimpin masa depan. Untuk menjadi pemimpin yang berkesan, kita perlu mengenali masyarakat,” ujarnya.
Ketua Eksekutif BWS, Encik Yen Sheng Xiang, pula menekankan bahawa inisiatif ini bukan sekadar aktiviti pembersihan.
“Apa yang penting ialah untuk menghulurkan bantuan yang sebenar kepada penerima.
“Kita bukan sekadar datang untuk mop lantai atau mengecat rumah, tetapi untuk membina hubungan dengan keluarga ini... membuat mereka rasa dihargai dan tidak dilupakan oleh masyarakat, sambil menyampaikan kata-kata semangat,” katanya.
Menurut Cik Natasha, walaupun kehidupan mereka serba kekurangan, ramai penerima bantuan mesra dan berterima kasih, malah menawarkan makanan dan minuman kepada sukarelawan.
Cik Natasha berharap lebih ramai belia akan turut serta dalam usaha sebegini.
“Tindakan kecil boleh meninggalkan kesan besar. Jika lebih ramai orang berganding bahu, kita mampu membawa perubahan yang bermakna.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg