Sultan Ibrahim kecewa rasuah libat pegawai tertinggi tentera
Sultan Ibrahim kecewa rasuah libat pegawai tertinggi tentera
Beliau mahu kerajaan sediakan hakim berpengalaman, laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang ada.
Sultan Ibrahim yakin ada ramai lagi perasuah di luar sana sama ada daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu diburu sehingga berjaya ditumpaskan.
Beliau turut mahu kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah, dalam Angkatan Tentera Malaysia, sampai peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sebagai PAT (Panglima Angkatan Tentera).
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau ‘tip of the iceberg’. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam dewan ini akan diburu sampai jumpa.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, pada 19 Januari.
Terdahulu, Berita Harian Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya empat pegawai kanan ATM, termasuk bekas Panglima Tentera Darat (PTD), akan didakwa di mahkamah minggu ini berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Tindakan itu adalah berhubung dua kes siasatan SPRM dalam ‘Op Parasit’ yang mana membabitkan bekas PTD dan ‘Op Star’ yang membabitkan bekas pegawai kanan ATM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dalam kes Op Parasit, sekurang-kurangnya dua pegawai tertinggi ATM termasuk bekas PTD akan dikenakan tindakan mahkamah minggu ini berkaitan kes tender perolehan dalam ATM.
Seramai 23 individu ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes itu dan siasatan dijangka selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada pendakwa raya 19 Januari.
Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim berkata sebarang usaha untuk mengadakan sistem pendidikan baru mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.
Beliau berkata bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
“Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa depan negara.

