Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM kesan aktiviti rasuah terancang dalam kalangan pegawai tentera M’sia

Jan 9, 2026 | 12:51 PM
PDRM, rasuah, ATM
Bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya yang masing-masing berbaju lokap warna oren dikenakan tahanan reman bermula 8 Januari untuk membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) semakin membongkar jaringan penerimaan suapan terancang dalam kalangan pegawai tentera.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, fokus SPRM kini adalah menyiasat rangkaian rasuah yang dipercayai berleluasa dalam pasukan berkenaan.

Sumber SPRM mendedahkan, siasatan agensi itu mengesan kemungkinan beberapa pegawai tentera lain turut terlibat dalam skandal rasuah ini.

“Permohonan reman tujuh hari membabitkan bekas Panglima tentera yang juga suspek utama kes itu adalah bertujuan untuk menyiasat dakwaan penerimaan wang rasuah yang dilakukan secara terancang.

“SPRM juga sedang mengesan pembabitan beberapa pegawai lain, sekali gus menunjukkan wujudnya rangkaian rasuah lebih luas dalam aktiviti perolehan agensi berkenaan,” katanya, lapor BHM.

Pada 8 Januari di Mahkamah Putrajaya, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan SPRM menahan reman seorang bekas Panglima TDM bergelar Tan Sri, selama tujuh hari sehingga 14 Januari.

Dua isterinya yang turut ditahan SPRM, masing-masing dikenakan tahanan reman selama tiga dan enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Selain bekas Panglima TDM dan dua isteri, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman tujuh hari, menjadikan seramai lima individu ditahan SPRM setakat ini, bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Kesemua suspek berusia di antara 20 hingga 50-an tahun ditahan kira-kira 3 petang pada 7 Januari, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Tangkapan itu susulan siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah dalam tender perolehan TDM sejak beberapa minggu lalu.

Pada 27 Disember 2025 lalu, media Malaysia melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, diarahkan bercuti serta-merta sehingga selesai siasatan kes terhadap beliau selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang melibatkan pegawai berkenaan.

Pelantikan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631, turut ditangguhkan, maklum Datuk Mohamed Khalid.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg