Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemaju hotel tuntut $6j daripada pemilik kondo Killiney Rd

Nov 26, 2024 | 7:53 PM
Kondominium Killiney 118 (kiri) dan tapak pembinaan 110/112 Killiney terletak bersebelahan, dalam gambar pada 26 November.
Kondominium Killiney 118 (kiri) dan tapak pembinaan 110/112 Killiney terletak bersebelahan, dalam gambar pada 26 November. - Foto ST

Sebuah syarikat pemaju hotel menuntut ganti rugi hampir $6 juta daripada 30 pemilik unit kondominium di Killiney Road kerana bangunan mereka didakwa menceroboh kawasan tanah bersebelahan, tempat sebuah hotel sedang dibina.

Pencerobohan itu didakwa melibatkan sejalur dinding sempadan yang melepasi garisan sempadan ke dalam plot pegangan bebas pemaju hotel itu.

Ia termasuk palang pengukuhan sehingga 1.6 sentimeter dan simen 4 sentimeter yang menutupinya.

Beberapa kerja pembetulan telah dilakukan terhadap pencerobohan kawasan yang didakwa itu, yang pada mulanya lebih besar.

Ia telah melibatkan jalur konkrit 35 meter yang asalnya dari kondominium Killiney 118 yang berukuran kira-kira sedalam 10 sentimeter hingga 20 sentimeter.

Lucrum (Killiney) Hotel dan Lucrum (Killiney) Commercial, yang memiliki 110 dan 112 Killiney Road, mendakwa bahawa pencerobohan kawasan itu menyebabkan kelewatan 180 hari kepada rancangan pembangunan hotel mereka, dan mengakibatkan kerugian melebihi $4.5 juta.

Mereka juga menganggarkan bahawa ia membawa kepada pengurangan $1,075,000 dalam nilai hartanah mereka disebabkan kehilangan 36.22 meter persegi keluasan lantai kasar.

Ini adalah tambahan kepada sejumlah $472,102 yang dibelanjakan untuk pembetulan.

Walaupun sebahagian pencerobohan itu telah dialihkan, tanah seluas 1.94 meter persegi masih terjejas, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh The Straits Times.

Kedua-dua pihak akan kembali ke mahkamah pada Disember untuk sidang kes.

Dalam pemfailan mahkamah, pemaju hotel berkata langkah menghapuskan sisa pencerobohan itu boleh menjejas keutuhan struktur tembok sempadan tersebut.

The Business Times melaporkan pada April 2024 bahawa syarikat ekuiti swasta, Lucrum Capital, telah membina sebuah hotel butik pegangan bebas di Killiney Road yang sedang dalam pembinaan untuk dijual pada harga $195 juta.

Hotel tujuh tingkat Mama Shelter Singapore Orchard di Distrik 9 itu akan dikendalikan oleh Ennismore, yang dimiliki firma hospitaliti Perancis, Accor, dan dijangka dibuka pada suku pertama 2025.

Dalam penyata tuntutan mereka yang difailkan terhadap Perbadanan Pengurusan Hak Milik Strata (MCST) Killiney 118 pada 1 Ogos 2024, pihak yang menuntut berkata mereka menemui pencerobohan itu pada Oktober 2022, dan akibatnya, mereka tidak dapat menggunakan kawasan lantai kasar 36.22 meter persegi.

Tuntutan itu dibuat 11 tahun selepas kondominium pegangan bebas Killiney 118 siap pada 2013, dan tujuh tahun selepas pihak menuntut membeli Tai Wah Building yang bersebelahan pada 2017.

Mereka telah merobohkannya pada 2019 untuk membina hotel tersebut.

Killiney 118 ialah pembangunan strata pegangan bebas terdiri daripada bangunan kondominium enam tingkat dengan 29 unit kediaman dan satu unit komersial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg