Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Pahang terkejut 10,521 hektar tanah diceroboh di Raub bagi tanam durian

May 9, 2025 | 10:18 AM
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah (depan), meninjau lokasi pencerobohan tanah yang ditanam pelbagai jenis pokok durian di Batu 3 Sg Ruan-Sg Klau di Raub, Pahang.
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah (depan), meninjau lokasi pencerobohan tanah yang ditanam pelbagai jenis pokok durian di Batu 3 Sg Ruan-Sg Klau di Raub, Pahang. - Foto BERNAMA

RAUB (Pahang): Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menzahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan keluasan kira-kira 10,521 hektar tanah di daerah ini diceroboh secara haram sejak sekian lama.

Beliau hairan dengan keluasan kawasan yang diceroboh itu, yang diibaratkan bersamaan dengan kira-kira 14,700 padang bola sepak.

“Selepas mendengar taklimat daripada pasukan elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), saya begitu terkejut dengan angka yang diberitahu iaitu 26,000 ekar (10,521 hektar) di daerah Raub saja. Ia satu angka yang besar.

“Namun, tindakan seterusnya perlu dilakukan dan saya berharap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan.

“Kita perlu menoktahkan dan menyelesaikannya secara terbaik. Dan jika perkara ini dibiarkan, seolah-olah kita tiada pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah, mahupun Pejabat Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri taklimat mengenai operasi penguatkuasaan Op Sekat 3.0 di Batu 3, Jalan Sungai Ruan–Sungai Klau, pada 8 Mei.

Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah, melawat kawasan kebun durian Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah di Raub itu.

Sultan Pahang berkata beliau mahu kerajaan Pahang bertindak tegas dalam isu berkenaan serta mencari penyelesaian segera demi masa depan yang lebih baik.

“Ada pihak yang mungkin tidak senang dengan tindakan penguatkuasaan ini, tetapi saya ingin tegaskan bahawa ramai yang marah dengan perbuatan mereka (penceroboh),” ujarnya.

Mengulas tindakan sesetengah pihak yang masih berani menceroboh tanah kerajaan, beliau menggesa rakyat supaya patuh kepada undang-undang dan tidak cuba mengambil jalan pintas.

“Tindakan menceroboh tanah kerajaan ini tidak adil kepada kerajaan dan rakyat lain kerana mereka (penceroboh) tidak bayar cukai tanah, tidak isytihar cukai pendapatan dan menafikan peluang orang lain untuk miliki tanah di daerah ini.

“Kita mahu bergerak ke hadapan dengan sistem yang lebih teratur dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal tanah,” tambahnya.

Pada April, kerajaan Pahang melancarkan Op Sekat 3.0 iaitu operasi khas bagi memerangi kegiatan pencerobohan tanah haram di Raub.

Semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada April, Sultan Abdullah turut menyifatkan pencerobohan tanah haram sebagai ‘musuh utama’ di negeri ini - melebihi masalah dadah dan jenayah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg