Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek sebabkan nahas maut di Terengganu sempat curi wang, makanan

Jan 7, 2026 | 3:47 PM
Terengganu, kereta, kemalangan, curi
Kereta Honda City yang diceroboh suspek punca kemalangan maut di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 5 Januari lalu, sebelum mencuri wang dan makanan. - Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut di simpang empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 5 Januari, hingga menyebabkan kematian seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dikatakan sempat menceroboh masuk kereta milik individu lain dan mencuri makanan sebelum tragedi berlaku.

Suspek memakai kemeja T kuning dikatakan sempat memasuki sebuah kereta model Honda City sebelum menghidupkan enjin kenderaan itu dan menikmati makanan lalu meninggalkan lokasi dengan menaiki kereta Honda Jazz.

Pemilik kereta Honda City, Encik Mohd Hanafi Mamat, 29 tahun, berkata, beliau tertinggal kunci di dalam kereta ketika meninggalkan kenderaan berhampiran Wisma Darul Iman pada pagi 5 Januari.

“Ketika waktu rehat tengah hari, saya kembali semula ke kereta sebelum mendapati kunci kereta tertinggal di dalamnya. Malah wang tunai berjumlah lebih RM200 ($63.25) hilang dari dalam kereta.

“Saya mengesyaki ada individu memasuki kereta saya kerana terdapat air minuman dan topi pejabat yang ditinggalkan di dalam kereta saya,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut Encik Mohd Hanafi, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kereta, beliau mendapati seorang individu berbaju kuning masuk dan menghidupkan keretanya.

Katanya hanya selepas video kemalangan tragis yang mengorbankan Allahyarhamha Syakirah Hanan Mazli, 25 tahun, tular, barulah beliau menyedari individu berbaju kuning yang menceroboh keretanya, sama dengan lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor, berkata pemandu suspek punca kemalangan itu mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Beliau berkata lelaki berusia 32 tahun itu disahkan menghidap Major Depression Disoder (MDD) serta mempunyai rekod rawatan sejak Januari 2025.

Suspek yang patah tangan kanan dan luka kecil di badan masih menerima rawatan di HSNZ.

Dalam kejadian pada 1.55 tengah hari 5 Januari, Allahyarhamha Syakirah Hanan yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau, sebelum dirempuh kereta dipandu suspek yang datang dari arah bertentangan.

Tragedi malang menimpa Allahyarhamha telah mengundang rasa dukacita dalam kalangan masyarakat termasuk Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg