Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengawal peribadi maut ditembak di Port Dickson, majikan dengan 15 rekod jenayah parah

Dec 10, 2025 | 7:06 PM
Insiden tembakan, pengawal peribadi maut, Port Dickson
Tompokan dan percikan darah ditemui di beberapa bahagian kereta dalam kejadian tembakan yang mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah, di Jalan Rasah berhampiran Plaza Tol Port Dickson, dekat Seremban, Negeri Sembilan, pada pagi 10 Disember.  - Foto tular NSTP

SEREMBAN (Negeri Sembilan): Seorang pengawal peribadi maut, manakala seorang lagi dipercayai majikannya cedera parah selepas ditembak di Jalan Rasah berhampiran Plaza Tol Port Dickson, dekat Seremban, Negeri Sembilan.

Difahamkan, dalam kejadian 7 pagi 10 Disember itu, kedua-dua lelaki warga tempatan itu parah ditembak ketika berada dalam kereta Perodua Myvi yang dinaiki, sebelum dikejarkan ke hospital oleh orang awam.

Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata semakan mendapati mangsa yang cedera parah mempunyai 15 rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan.

“Anggota polis terima panggilan 7.53 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian ini.

“Kedua-dua mangsa dibawa oleh orang awam ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ), di sini. Kedua-duanya dalam keadaan kritikal sebelum dirawat di Zon Merah.

“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa yang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, pada 10 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Kejadian itu dirakam orang awam dan memaparkan seorang lelaki dalam keadaan terkulai di tempat duduk pemandu kereta.

Siasatan awal di tempat kejadian menemui kesan tompokan dan percikan darah pada bahagian dalam dan luar kereta serta di atas jalan dan menjumpai beberapa kelongsong peluru.

“Mangsa yang meninggal dunia dipercayai pengawal peribadi kepada mangsa kedua.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971),” katanya.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, keluarga kepada tiga suspek yang ditembak mati oleh pihak polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu, hadir ke Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 10 Disember, bagi proses rakaman percakapan.

Salah seorang ahli keluarga suspek yang ditembak turut membawa telefon bimbit yang mengandungi audio rakaman perbualan ketika hari kejadian, lapor BHM.

Peguam mewakili tiga keluarga berkenaan Encik Rajesh Nagarajan, berkata audio rakaman itu dibawa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat daripada Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, sebelum ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 dengan 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan suspek, anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an tahun cedera parah pada lengan kiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg